WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan di Rusia susulan kematian seorang juruteknik makmal di sebuah pusat penyelidikan wabak di Siberia yang mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan wabak paru-paru (pneumonic plague).
Presiden AS, Donald Trump, berkata Washington sedang meneliti kes itu dengan serius, manakala Setiausaha Negara Marco Rubio menegaskan tiada sebab untuk panik walaupun risiko penularan sedang dipantau.
Pihak berkuasa Rusia mengumumkan punca kematian wanita terbabit sebagai radang paru-paru yang etiologinya masih belum dikenal pasti.
Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev, berkata tiada mikroorganisma berkaitan tugas penyelidikannya ditemui dalam sampel biologi mangsa.
Laporan media Rusia yang belum disahkan menyebut wanita berusia lewat 20-an itu mungkin jatuh sakit selepas memecahkan tabung uji mengandungi patogen berbahaya atau selepas mengunjungi wilayah Buryatia berhampiran sempadan Mongolia, kawasan yang mempunyai kes wabak dalam kalangan tikus liar.
Trump berkata beliau belum berbincang dengan Kremlin mengenai perkara itu, namun menegaskan AS bersedia membantu sekiranya diperlukan.
Sementara itu, agensi pemantau kesihatan Rusia, Rospotrebnadzor, berkata pemeriksaan keselamatan biologi di Institut Anti-Wabak Siberia dan Wilayah Timur Rusia di Irkutsk tidak menemukan sebarang situasi kecemasan.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, turut menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin dan hanya merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa.
Media Rusia melaporkan hampir 200 individu yang mempunyai kontak dengan mangsa kini berada di bawah pemantauan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.
Rubio berkata jika patogen berbahaya terlepas keluar, ia berpotensi merebak dengan cepat, justeru AS akan terus memantau perkembangan tersebut.
Bakteria wabak Yersinia pestis, yang menyebabkan kematian jutaan penduduk Eropah semasa wabak Black Death pada abad ke-14, masih wujud dalam populasi haiwan liar di beberapa bahagian dunia termasuk Siberia dan Mongolia.
Pakar mikrobiologi Universiti Reading, Dr Simon Clarke, berkata wabak paru-paru hampir selalu membawa maut jika tidak dirawat, namun boleh disembuhkan menggunakan antibiotik.
Beliau berkata jenis wabak itu boleh merebak daripada manusia kepada manusia, tetapi menegaskan situasi semasa tidak menunjukkan keperluan kepada sekatan besar-besaran seperti ketika pandemik COVID-19.