PARLIMEN Eropah mencadangkan supaya produk yang diperbuat atau dikendalikan oleh orang yang dipaksa bekerja dikecualikan daripada pasaran dalamannya melalui larangan import dan eksport yang selaras dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ia berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar, menyatakan resolusi baharu akan dibuat bagi mengikuti penggubalan peraturan Kesatuan Eropah (EU) baharu yang sedang berjalan mengenai produk yang dibuat atau dikendalikan oleh buruh paksa.

Secara amalannya, pihak berkuasa awam harus menahan dan merampas barangan di sempadan EU sekiranya terdapat "bukti yang mencukupi" bahawa barangan itu dibuat atau dikendalikan oleh buruh paksa, kata Ahli Parlimen Eropah (MEP).

MEP menyatakan bahawa bagi menentukan perkara yang dikira sebagai produk daripada buruh paksa, item tersebut hendaklah diukur mengikut petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang termasuk penyalahgunaan kelemahan, sekatan pergerakan, menahan dokumen pengenalan diri dan ikatan hutang.

Sementara itu, Parlimen Eropah menggesa kerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan bagi memastikan barangan yang diharamkan di pasaran EU tidak disalurkan semula ke pasaran lain.

Ia menyatakan bahawa pengharaman ke atas produk buruh paksa tidak akan menghapuskan buruh paksa dengan sendirinya.

"Menangani isu global ini memerlukan penyelesaian secara kolektif melibatkan dialog dengan negara dunia ketiga, bantuan teknikal dan pembinaan kapasiti serta peningkatan kesedaran," katanya.

Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen menegaskan dalam ucapan State of the Union 2021 bahawa suruhanjaya itu akan mencadangkan pengharaman ke atas produk buruh paksa, dan instrumen perundangan baharu itu dirancang untuk September 2022.

Menurut suruhanjaya itu, 25 juta orang berada dalam krisis buruh paksa di seluruh dunia.

-- BERNAMA