Fahmi sekali lagi tegaskan keperluan pelaksanaan had umur media sosial

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat di IOI Grand Exhibition and Convention Centre hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sekali lagi menekankan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan dengan perkara yang tidak patut dalam talian.
Berkongsi insiden seorang murid seawal usia 10 tahun meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya menerusi WhatsApp, Fahmi berkata hal itu adalah antara contoh jelas yang menunjukkan keperluan sekatan media sosial bagi golongan muda.
Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan sendiri oleh seorang guru dari Kuala Lumpur yang mengadu bahawa murid tahun empatnya telah menghantar mesej menerusi aplikasi pemesejan itu.
"Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap platform media sosial dan sistem pemesejan seperti WhatsApp. Kita bukan nak halang semua aplikasi, tetapi pada waktu ini kita lihat adalah media sosial.
"Saya percaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum tentang perkara-perkara seperti itu (insiden murid minta gambar guru)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi berkata kementerian juga sedang bekerja rapat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 bagi menjamin penggunaan Internet yang selamat.
Beliau berkata OnSA membenarkan denda hingga RM10 juta, namun pihaknya masih sedang meneliti mekanisme sesuai dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan sekatan umur media sosial yang sesuai di negara lain, termasuk denda seperti di Australia.
"Kita akan berbincang dengan platform media sosial dalam merangka kerangka yang sesuai dengan Malaysia, contohnya proses pengesahan identiti seperti penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, atau MyPR dan pasport bagi bukan warganegara.
"Kita juga menghubungi Suruhanjaya Tinggi Australia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan dasar itu (had umur), yang akan bermula 10 Dis di negara itu, tapi pihak platform-platform media sosial telah mula sama ada menyekat ataupun melupuskan akaun-akaun yang tidak menepati syarat itu," jelasnya.
Sementara itu, Fahmi berkata Kempen Internet Selamat anjuran MCMC akan diteruskan awal tahun depan selepas berjaya menarik penyertaan 8,462 sekolah melibatkan 369,005 pelajar di seluruh negara, setakat 30 Nov lepas.
"Pada awalnya kita menyasarkan 10,000 sekolah. Tahun depan, kita akan pergi ke sekolah seterusnya dan perluaskan lagi kempen ini sebagai Kempen Internet Selamat 2.0 dengan penglibatan lebih banyak komuniti termasuk rukun tetangga, ibu bapa serta rumah-rumah ibadat dalam menjamin keselamatan dalam talian ini diperluas ke seluruh masyarakat," katanya.
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, fokus pada 2026 adalah meneruskan pelaksanaan kempen itu di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta memperluas jangkauan kepada pengguna Internet yang lain seperti warga emas, belia dan ibu bapa.
Sebelum ini, kempen berkenaan diperluas kepada komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat yang melibatkan 466 program dan 287,939 peserta.
Karnival Mega Kempen Internet Selamat menampilkan pelbagai aktiviti utama seperti Pertandingan Peringkat Akhir Debat antara IIPT yang buat julung-julung kalinya diadakan, forum, pameran keselamatan dalam talian oleh pelbagai agensi serta aktiviti interaktif di reruai yang berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 pengunjung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


