Skip to main content

Dunia

Parlimen Eropah lulus peraturan baharu hak penumpang udara

Sumber: European Parliament
Peraturan baharu yang diluluskan Parlimen Eropah antara lain menetapkan bahawa ibu bapa boleh menempah tempat duduk di sebelah anak-anak mereka secara percuma. - Foto European Parliament
Advertisement

BRUSSELS: Parlimen Eropah meluluskan peraturan baharu mengenai hak penumpang udara yang memperkenalkan tempahan tempat duduk keluarga secara percuma dan ketelusan harga tiket yang lebih tinggi, di samping mengekalkan hak pampasan sedia ada bagi penerbangan yang terlewat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Majoriti besar seramai 646 ahli Parlimen Eropah mengundi menyokong pembaharuan itu pada Selasa.

Peraturan itu antaranya menetapkan bahawa ibu bapa kini boleh menempah tempat duduk di sebelah anak-anak mereka secara percuma, selain harga tiket mesti dipaparkan dengan jelas.

Peraturan bagi pampasan sekiranya berlaku kelewatan penerbangan pula secara dasarnya kekal tidak berubah.

Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada asalnya mahu pampasan diberikan kepada penumpang hanya untuk kes kelewatan besar pada masa hadapan, selain menerima jumlah wang yang lebih rendah bergantung pada jarak penerbangan.

Bagaimanapun, susulan persetujuan yang dicapai pada Jun, peraturan sedia ada dikekalkan yang menyaksikan pengembara berhak mendapat pampasan jika penerbangan mereka lewat sekurang-kurangnya tiga jam.

Jumlah pampasan juga kekal bergantung pada jarak perjalanan iaitu €250 (US$285) bagi penerbangan sehingga 1,500 kilometer (km), €400 (US$457) bagi penerbangan sehingga 3,500 km, dan €600 (US$686) bagi penerbangan melebihi 3,500 km, dengan syarat perjalanan itu bukan sepenuhnya di dalam EU.

Had yang sama akan digunakan untuk penerbangan yang dibatalkan sekiranya pembatalan berlaku kurang daripada 14 hari sebelum waktu berlepas.

Bagi semua kes, pampasan hanya perlu dibayar jika syarikat penerbangan bertanggungjawab terhadap gangguan berkenaan.

Syarikat penerbangan tidak akan bertanggungjawab, contohnya, bagi kelewatan atau pembatalan yang berpunca daripada penumpang liar, cuaca buruk, bencana alam atau mogok oleh pihak lapangan terbang mahupun syarikat pengendalian darat.

Peraturan baharu ini akan diguna pakai untuk penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan EU serta syarikat penerbangan bukan EU yang berlepas dari rantau berkenaan.

Sebaik sahaja undang-undang ini berkuat kuasa, syarikat penerbangan mempunyai tempoh 12 bulan untuk melaksanakan syarat-syarat baharu itu.

Undang-undang berkenaan kini memerlukan kelulusan rasmi daripada negara anggota EU, satu langkah yang dilihat secara meluas sebagai satu formaliti sahaja.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement