Skip to main content

Malaysia

Operasi penguatkuasaan polis Kelantan meningkat, kes dadah berkurang

Mohd Yusoff berkata, peningkatan operasi itu berjaya mengurangkan jumlah kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 yang mencatatkan 18,045 kes dari Januari hingga September berbanding 20,476 kes bagi tempoh sama tahun lepas. - Gambar fail
Mohd Yusoff berkata, peningkatan operasi itu berjaya mengurangkan jumlah kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 yang mencatatkan 18,045 kes dari Januari hingga September berbanding 20,476 kes bagi tempoh sama tahun lepas. - Gambar fail

Advertisement

KOTA BHARU: Polis Kelantan melaksanakan 32,699 operasi penguatkuasaan berkaitan dadah dari Januari hingga September tahun ini, meningkat 0.7 peratus berbanding 32,460 operasi dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, peningkatan operasi itu berjaya mengurangkan jumlah kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 yang mencatatkan 18,045 kes dari Januari hingga September berbanding 20,476 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah tangkapan turut berkurang 8.4 peratus kepada 19,746 orang dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 21,590 orang bagi tempoh sama pada 2025,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah di Kelantan juga mencatatkan pengurangan 44 peratus kepada RM17.25 juta sejak Januari hingga September berbanding RM30.79 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Mohd Yusoff berkata, usaha penguatkuasaan berterusan serta pengukuhan kawalan sempadan menjadi antara langkah pasukan keselamatan itu membendung kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah.

“Kempen ‘Jihad Dadah’ yang dilaksanakan di negeri ini turut menunjukkan perkembangan positif, dengan sokongan masyarakat membantu polis membanteras kegiatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran orang ramai mengenai kaitan penyalahgunaan dadah dengan pelbagai jenayah, khususnya jenayah harta benda penting bagi memastikan usaha membanteras gejala itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah dadah bagi mengekang pengedaran serta penyalahgunaan bahan terlarang itu demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement