BANGKOK: Parlimen Thailand meluluskan bacaan pertama draf rang undang-undang belanjawan bernilai 3.185 trilion baht (AS$96.2 bilion) untuk tahun fiskal 2023 bertujuan meningkatkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Selepas tiga hari perbahasan, rang undang-undang belanjawan yang akan bermula pada 1 Oktober menyaksikan 278 undi menyokong, 192 membantah dan dua berkecuali selepas sesi pengundian berlangsung pada Jumaat.

Bajet itu menjadi penentu terhadap keupayaan kerajaan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Sekiranya belanjawan itu ditolak, bermakna Prayuth berdepan situasi peletakan jawatan atau perlu mengadakan pilihan raya awal.

Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga pada Ogos sebelum dihantar untuk kelulusan senat dan perkenan diraja.

Sementara itu, dalam ucapan penutupnya, Prayuth berkata bajet itu adalah untuk menyokong pemulihan ekonomi dan sosial pasca pandemik.

"Bajet itu menyediakan dana yang mencukupi kepada agensi kerajaan untuk menggerakkan dasar dan strategi pembangunan negara agar selaras dengan keadaan ekonomi dan sosial semasa," katanya.

Dewan Rakyat juga menubuhkan jawatankuasa semakan bajet yang terdiri daripada 72 ahli, bagi menyemak draf rang undang-undang dalam tempoh 30 hari.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu dijadualkan pada Isnin.

Bajet itu mengunjurkan perbelanjaan meningkat 2.74 peratus berbanding tahun semasa dan defisit sebanyak 695 bilion baht.

-- BERNAMA