Skip to main content
Advertisement

Dunia

Parti Demokrat Sosial Sweden gagal bentuk kerajaan baharu

magdalena anderson
Magdalena Andersson berkata, Parti Kiri kini merupakan sebahagian daripada blok berbeza, yang sepatutnya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan. - Gambar AP
Advertisement

STOCKHOLM: Pemimpin Demokrat Sosial Sweden, Magdalena Andersson berkata, rundingan partinya untuk membentuk kerajaan campuran gagal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ahli politik berusia 59 tahun itu membuat pengumuman berkenaan pada sidang media Isnin, kira-kira 10 hari selepas pilihan raya kebangsaan.

Demokrat Sosial muncul sebagai parti terbesar selepas pilihan raya itu dengan memperoleh 28 peratus undi.

Empat parti pembangkang yang sebelum ini mengumumkan sokongan kepada Andersson sebagai perdana menteri memperoleh majoriti tipis secara keseluruhan dengan 176 daripada 349 kerusi. 

Parti berkenaan terdiri daripada Demokrat Sosial, Parti Hijau, Parti Tengah yang berhaluan liberal dan Parti Kiri.

Blok konservatif yang terdiri daripada kerajaan tiga parti yang bakal berundur dan kelompok populis sayap kanan turut gagal memperoleh majoriti apabila hanya meraih 173 kerusi.

Bagaimanapun, telah menjadi semakin jelas bahawa usaha membentuk kerajaan bukan sesuatu yang mudah.

Susulan pertikaian mengenai siapa yang sepatutnya menjadi Speaker Parlimen, Andersson berkata, Parti Kiri kini merupakan sebahagian daripada blok berbeza, yang sepatutnya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan.

Pertikaian itu tercetus selepas Parti Kiri menyokong calon daripada parti saingan, Parti Moderat, bagi jawatan Speaker.

Pemimpin Parti Kiri, Nooshi Dadgostar menolak gambaran Andersson mengenai pertikaian itu dan dilaporkan menjelaskan bahawa beliau mahukan seorang ahli politik berpengalaman untuk menjadi Speaker.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement