Skip to main content

Malaysia

Raja Muda Selangor berangkat santuni mangsa banjir di PPS SK Parit Mahang

Tengku Amir Shah berkenan mengadakan lawatan ke PPS di SK Parit Mahang, Kuala Selangor. - Facebook Friends of RMS
Tengku Amir Shah berkenan mengadakan lawatan ke PPS di SK Parit Mahang, Kuala Selangor. - Facebook Friends of RMS
Advertisement

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Kuala Selangor.

“Dalam kesempatan ini, beta berpeluang bertemu dan menyantuni keluarga-keluarga yang ditempatkan di PPS SK Parit Mahang susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu.

“Semoga semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Beta mendoakan agar keadaan kembali pulih seperti sediakala dan segala urusan dipermudahkan,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Raja Muda Selangor.

Advertisement

Terdahulu, keberangkatan baginda ke PPS berkenaan diiringi Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor.

Menurut hantaran Facebook Friends of RMS, baginda kemudiannya diberikan taklimat mengenai situasi semasa banjir serta perkembangan operasi bantuan di kawasan berkenaan. 

Advertisement

Dalam lawatan itu, bantuan wang ihsan dan baucar sumbangan Yayasan Sultan Selangor (YSS) serta Segi Fresh turut disediakan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terkesan.

Terdahulu, media melaporkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di sembilan PPS di Selangor meningkat kepada 1,392 orang, termasuk 343 mangsa yang masih berlindung di SK Parit Mahang petang tadi.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara pula menasihati penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di daerah Sepang, Kuala Langat dan Gombak agar berwaspada susulan amaran kemungkinan banjir yang dijangka bermula 4 petang hari ini hingga 11.59 malam Sabtu depan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement