SELEPAS tiga bulan penularan wabak COVID-19, pasar daging di sekitar dua bandar terkemuka di Guilin dan Dongguan, China kembali menjual kelawar dan kala jengking serta pelbagai haiwan eksotik yang digunakan dalam perubatan tradisional.

Menurut Daily Star, penemuan mengejutkan itu mendapati haiwan liar dan eksotik berkenaan yang dikaitkan dengan punca tercetusnya wabak itu banyak dijual secara terbuka di bandar berkenaan.

Banyak tempat di republik itu, meraikan ‘kemenangan’ memerangi COVID-19 dengan membuka perniagaan buat pertama kalinya semalam selepas beberapa bulan ditutup.

Difahamkan pasar basah yang menawarkan haiwan eksotik ini sudah mulai beroperasi seawal 28 Mac lalu dimana warga China berpendapat negara mereka sudah bebas sepenuhnya daripada COVID-19.

Apa yang membezakan pasar basah yang dibuka kali ini dengan sebelum penularan wabak Covid-19 iaitu kehadiran pegawai penjaga yang menghalang orang ramai untuk mengambil gambar bagi mengelakkan daripada perkara ini terus menular di internet.

Senario itu dilihat koresponden Daily Mail yang menggambarkannya sangat teruk dan mendatangkan masalah.

Sementara itu, di Dongguan pula, penjualan kelawar dipromosikan besar-besaran oleh penjual perubatan tradisional.

"Pasar ini kembali beroperasi sama macam mereka buat sebelum koronavirus," lapor koresponden itu yang dihalang pengawal keselamatan bagi merakam gambar.

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!

Sumber: Harian Metro, Free Malaysia Today, The Daily Star, Northern Star