Skip to main content

Dunia

Pasukan penyelamat berusaha buka semula lebuh raya ke Pintu Sempadan Gyirong dilanda tanah runtuh

In this photo released by Xinhua News Agency, rescuers from the People's Armed Police Force search for victims at the mudslide-hit area near Gyirong Port in Gyirong County, in Xigaze, southwest China's Tibet Autonomous Region on Friday, Aug. 28, 2026. (Liu Shuang/Xinhua via AP)
Anggota penyelamat menjalankan kerja di kawasan yang dilanda tanah runtuh berhampiran Pelabuhan Gyirong di Daerah Gyirong, Xigaze, Wilayah Autonomi Tibet, barat daya China, 28 Ogos 2026. (Foto AP)
Advertisement

GYIRONG, XIZANG (CHINA): Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat dan bekerja tanpa henti untuk membuka semula lebuh raya utama menuju ke Pintu Sempadan Gyirong yang dilanda tanah runtuh di Xizang, barat daya China. 

Ia bagi memudahkan kemasukan peralatan penting, anggota dan bekalan ke kawasan bencana, lapor Xinhua.

Lebuh Raya Kebangsaan G216 menuju ke pintu sempadan itu telah dipulihkan sehingga kira-kira 1.1 kilometer dari kawasan berkenaan setakat tengah hari Isnin, menurut pasukan penyelamat China Anneng sambil menambah mereka sedang berlumba dengan masa untuk memulihkan laluan penting itu.

Tanah runtuh yang berpunca daripada runtuhan ais dan batu di Nepal melanda Pintu Sempadan Gyirong pada 26 Ogos, mengorbankan 16 orang dan menyebabkan 546 lagi hilang setakat 6 petang Sabtu, menurut kerajaan Wilayah Autonomi Xizang.

Bencana itu melanda kawasan berkenaan dan memusnahkan bangunan, bekalan elektrik serta sebahagian G216, sekali gus menjejaskan operasi tindak balas kecemasan dan usaha menyelamat.

Jalan yang rosak dilitupi lumpur tebal sehingga menghalang laluan kenderaan besar dan menyukarkan anggota penyelamat bergerak dengan berjalan kaki, menurut pasukan penyelamat.

China Anneng mengerahkan 158 anggota tindak balas kecemasan dan 28 unit peralatan termasuk jengkaut dan jentera pemuat untuk membaiki lebuh raya itu secara bergilir-gilir.

Peranti pemantauan kecerdasan buatan (AI) berasaskan laser digunakan untuk menjejaki perubahan secara dinamik, sekali gus membantu mengenal pasti, menilai dan memberi amaran mengenai potensi bahaya di kawasan itu bagi memastikan keselamatan operasi pembaikan di barisan hadapan.

Image
Rescue workers operate excavators to repair a road leading to Gyirong port following a mudslide, in Shigatse, Tibet Autonomous Region, China August 30, 2026. China Daily via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. CHINA OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN CHINA.
Anggota penyelamat menggunakan jengkaut untuk membaiki jalan menuju ke pelabuhan Gyirong susulan kejadian tanah runtuh lumpur, di Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China, 30 Ogos 2026. REUTERS

Setakat ini, lebih 2,000 anggota menyertai operasi mencari dan menyelamat termasuk daripada Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Pasukan Polis Bersenjata Rakyat dan China Anneng.

Walaupun berdepan kesukaran termasuk kawasan altitud tinggi, lembah curam dan cuaca tidak menentu, pasukan penyelamat bekerja tanpa henti untuk mencari mangsa yang terselamat, membaiki jalan, membina stesen pangkalan komunikasi dan memulihkan talian elektrik.

Di tebing sungai yang dipenuhi runtuhan serta sepanjang cerun gunung yang curam, pasukan penyelamat membawa anjing pengesan meredah celah besi dan bongkah batu besar bagi mencari sebarang tanda kehidupan.

Pada petang Isnin, dua wartawan Xinhua tiba dengan helikopter di kawasan teras bencana berhampiran pintu masuk Pintu Sempadan Gyirong.

Rakaman video mereka menunjukkan kawasan dipenuhi lumpur sedalam paras lutut serta tiupan angin kencang yang menyukarkan seseorang berdiri tegak.

“Kawasan ini dilitupi lumpur tebal. Dilengkapi alat pengesan kehidupan, peralatan meroboh dan anjing pengesan, anggota penyelamat terus mencari mangsa yang terselamat. Mereka enggan berputus asa walaupun masih ada sedikit harapan,” kata wartawan Pubu Cering.

Pada Ahad, komunikasi di lokasi utama operasi menyelamat berjaya dipulihkan, membolehkan panggilan telefon dibuat dengan anggota penyelamat di pintu sempadan menerusi sebuah stesen pangkalan yang baru dibina.

Pengendali telekomunikasi di Xizang turut memulihkan sebuah stesen pangkalan yang rosak dan membina lapan stesen baharu berhampiran pintu sempadan itu.

Markas Tentera Xizang, Tentera Pembebasan Rakyat mengerahkan pasukan pencegahan wabak ke kawasan bencana untuk menjalankan nyahkuman persekitaran, ujian kualiti makanan dan air, vaksinasi kecemasan serta pemeriksaan perubatan rutin bagi kecederaan dan penyakit.

Misi bantuan itu turut melibatkan anggota sokongan psikologi yang akan menyediakan khidmat kaunseling secara berkala kepada anggota penyelamat dan penduduk terjejas.

Tasik empangan semula jadi di kawasan hulu Pintu Sempadan Gyirong yang menjadi ancaman utama kepada operasi menyelamat pada asasnya telah surut dan aliran sungai kembali terbentuk, menurut Kementerian Sumber Air China pada Ahad.

Kementerian itu memetik rakaman dron, imej panoramik yang dirakam pada sebelah pagi serta laporan pasukan tindak balas kecemasan.

Daerah Gyirong dijangka menerima lebih banyak hujan dalam beberapa hari akan datang, dengan hujan lebat terutama pada waktu malam, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan pada Ahad.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement