Skip to main content

Dunia

Pasukan penyelamat Korea Selatan berdepan kesukaran ke lokasi banjir Nepal, sembilan masih hilang

South Korea's Rapid Response Team members prepare to board a plane to Nepal to support search and rescue efforts as South Koreans remain unaccounted for following a massive flooding in Nepal, at the Incheon International Airport in Incheon, South Korea, Thursday, Aug. 27, 2026. (AP Photo/Ahn Young-joon)
Anggota pasukan tindak balas pantas Korea Selatan bersedia untuk menaiki pesawat ke Nepal untuk membantu usaha mencari dan menyelamat rakyat negara itu yang masih belum dapat dikesan susulan banjir besar Nepal, di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, 27 Ogos 2026. (Foto AP)
Advertisement

SEOUL: Pasukan tindak balas kerajaan dan syarikat Korea Selatan berdepan kesukaran untuk sampai ke tapak pembinaan loji janakuasa hidro di Nepal, lokasi sembilan rakyat Korea Selatan masih belum dapat dikesan, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan banjir susulan, kata pegawai pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pasukan tindak balas pantas bersama kerajaan tiba di Kathmandu lewat Khamis manakala pasukan tindak balas daripada syarikat Doosan Enerbility Co. dan Korea South-East Power Co. tiba awal Jumaat.

Kerajaan dan syarikat berkenaan mendapatkan keseluruhan enam helikopter untuk operasi mencari dan menyelamat namun pesawat berkenaan masih belum mendapat kelulusan penerbangan daripada pihak berkuasa Nepal, menurut pegawai kementerian.

"Perjalanan menggunakan helikopter amat diperlukan untuk sampai ke kawasan itu kerana jalan raya dan jambatan dihanyutkan. Namun, pihak berkuasa Nepal mengehadkan operasi helikopter persendirian kerana bimbang kemungkinan berlaku banjir susulan," kata seorang pegawai kementerian.

Sembilan individu yang hilang itu iaitu enam pekerja Doosan dan tiga pekerja syarikat penjanaan kuasa berkenaan sedang bekerja di tapak pembinaan di Daerah Rasuwa ketika banjir kilat besar dan tanah runtuh melanda kawasan itu pada pagi Rabu.

Mereka sebelum itu berada di pejabat dan tempat penginapan di kawasan yang agak rendah, yang sebahagian besarnya dipercayai dihanyutkan banjir.

Keluarga pekerja yang hilang menggesa kerajaan agar segera menghantar helikopter ke lokasi berkenaan, dengan menyatakan hampir 48 jam berlalu sejak bencana berlaku.

"Permintaan kami hanya satu, iaitu supaya helikopter diterbangkan secepat mungkin," kata anggota keluarga pada taklimat media Jumaat. "Kami percaya hari ini adalah masa paling kritikal. Tolong hantar helikopter."

Dalam perkembangan berasingan, kesemua 10 pekerja Doosan yang sebelum ini terputus hubungan di kawasan lain kini dipindahkan ke tempat selamat.

Sembilan daripada mereka diterbangkan menggunakan helikopter tentera Nepal pada Khamis manakala seorang lagi pekerja, iaitu pengurus tapak Doosan, dipindahkan ke kawasan selamat pada Jumaat, menurut pegawai.

Mereka pada mulanya dijangka berlepas ke Kathmandu pada Jumaat, namun rancangan perjalanan itu masih belum disahkan berikutan keadaan setempat.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video

Advertisement