PASUKAN polis bersenjata ditempatkan di hadapan Dewan Bandaraya Yangon pada Sabtu.

Ia susulan protes terhadap rampasan kuasa di Myanmar yang masih berlarutan dalam kalangan rakyat negara itu.

Terdahulu, penunjuk perasaan dilaporkan telah berkumpul berhampiran dewan berkenaan sebelum berarak dan melaungkan slogan anti-tentera.

Ia protes terbesar sejak rampasan kuasa oleh tentera yang berlaku Isnin (1 Feb) lalu.

Pada Sabtu, pentadbiran baharu yang telah menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi tersebut, bertindak menyekat sebahagian besar akses Internet dan komunikasi lain.

Tindakan diambil selepas negara itu menyaksikan peningkatan dalam siri tunjuk perasaan selepas rampasan kuasa yang menjatuhkan pemerintah awam dipilih rakyat, pasca pilihan raya November lepas.

Sebelum rampasan kuasa, tentera Myanmar menahan Penasihat Negara Suu Kyi, Presiden Win Myint dan anggota kanan lain dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Pada Jumaat, tentera turut menyekat laman Instagram dan Twitter yang didakwa digunakan orang ramai untuk menyebarkan berita palsu.

Facebook juga turut disekat sebelumnya pada minggu ini.

Sejak berlaku rampasan kuasa tentera dan penahanan Suu Kyi, Myanmar menerima kecaman antarabangsa yang menyifatkan demokrasi di negara itu semakin buruk.