DUNIA
PBB: Bantuan sampai ke Gaza tidak mencukupi untuk penduduk kelaparan

Hanya sedikit bantuan berjaya disalurkan ke Semenanjung Gaza ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus memberi amaran mengenai krisis kebuluran yang boleh meragut nyawa. - Gambar fail/REUTERS
TEL AVIV/NEW YORK: Hanya sedikit bantuan berjaya disalurkan ke Semenanjung Gaza ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus memberi amaran mengenai krisis kebuluran yang boleh meragut nyawa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Khamis.
PBB mengesahkan pasukannya mengambil terutamanya bekalan tepung di dua lintasan sempadan pada Rabu dan membawanya masuk ke Semenanjung Gaza yang menempatkan dua juta penduduk yang memerlukan bantuan.
Jurucakap PBB Farhan Haq menegaskan di New York bahawa jumlah bantuan yang dibenarkan masuk adalah tidak mencukupi.
Organisasi rakan kongsi PBB di Semenanjung Gaza dan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) melaporkan bahawa "bantuan yang berjaya dibawa masuk ke Gaza dalam tempoh dua bulan lalu masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan asas penduduk."Beliau berkata Israel mesti membenarkan lebih banyak penghantaran bantuan.
Jurucakap itu turut menafikan dakwaan Israel bahawa PBB enggan mengagihkan makanan.
"Kami tidak cuba menghalang semua orang ini, termasuk petugas kami sendiri, daripada menerima bekalan makanan. Mereka tersekat akibat pelbagai halangan, termasuk yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel," kata Haq.
Beliau menambah bahawa proses kelulusan pelbagai peringkat oleh tentera Israel sangat membebankan, menyebabkan bantuan hanya dapat dihantar selepas malam menjelang akibat kelewatan yang ketara.
Terdahulu, Kementerian Luar Israel memaklumkan bahawa tentera rejim telah menjemput puluhan wartawan antarabangsa ke lintasan sempadan Kerem Shalom untuk menunjukkan bagaimana ratusan trak membawa barangan bantuan memasuki Semenanjung Gaza. Namun, barangan itu dilaporkan hanya diletakkan tanpa diagihkan.
Kementerian itu turut menuduh PBB enggan mengagihkan bantuan berkenaan.
Menurut organisasi bantuan, Semenanjung Gaza kini berada di ambang "kebuluran." Setiap hari tanpa penghantaran makanan yang mencukupi hanya memburukkan lagi keadaan, kata Haq pada Khamis. "Kami telah menyuarakan perkara ini selama berbulan-bulan, dan kini kami berada pada tahap di mana orang ramai sedang mati."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami