PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada kerajaan Taliban bahawa penindasan terhadap hak wanita berkemungkinan menyebabkan bantuan kepada negara itu berkurangan.

Menurut utusan PBB ke Afghanistan, Roza Otunbayeva, PBB mengemukakan rayuan bantuan AS$4.6 bilion pada 2023 untuk Afghanistan, dengan  dua pertiga daripada penduduk atau 28 juta orang memerlukannya untuk terus hidup.

Namun Roza memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa bantuan itu diletakkan dalam risiko oleh pentadbiran Taliban yang melarang wanita menghadiri sekolah menengah dan universiti dan bekerja untuk kumpulan bantuan.

Tegas Roza, pembiayaan untuk Afghanistan mungkin akan berkurangan jika wanita tidak dibenarkan bekerja.

Beliau berkata perbincangan tentang menyediakan lebih banyak bantuan pembangunan seperti projek infrastruktur kecil atau dasar untuk memerangi kesan perubahan iklim telah dihentikan kerana larangan itu.

Jelasnya lagi, walaupun beberapa wanita Afghanistan pada mulanya berkata mereka mengalu-alukan kedatangan Taliban kerana ia menamatkan perang, harapan mereka kini sudah berubah.

Kata mereka, Afghanistan di bawah Taliban kekal sebagai negara paling menindas di dunia berhubung hak wanita.