Skip to main content

Malaysia

Wanita tonggak pembinaan negara MADANI - PM Anwar

FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika merasmikan Majlis Perasmian Melangkah Bersama MADANI di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. - Foto FB Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU: Wanita tidak boleh dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara kerana golongan itu adalah tonggak penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan bagi menjayakan aspirasi Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembangunan sesebuah negara tidak seharusnya diukur menerusi kemajuan fizikal semata-mata seperti pembinaan bangunan pencakar langit, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sebaliknya perlu diperkukuh dengan pembentukan jiwa serta nilai murni.

Anwar berkata kemajuan material yang tidak disertai pembangunan insan hanya akan menyebabkan sesebuah negara kehilangan roh dan arah tuju.

"Negara sama ada di timur atau barat, semuanya bercakap mengenai pembangunan tetapi dalam MADANI, pembangunan itu mesti diisi dengan jiwa dan roh.

"Kita boleh membina gedung, kilang dan teknologi moden tetapi yang lebih penting ialah membangunkan insan yang mempunyai nilai, ketakwaan serta akhlak yang baik," katanya ketika merasmikan Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  Marhamah Rosli.Perdana Menteri berkata peranan wanita khususnya sebagai ibu amat penting kerana pendidikan asas seseorang anak bermula dari rumah.

Selain itu, beliau berkata sejarah Islam turut membuktikan bahawa wanita sentiasa memainkan peranan besar dalam pembangunan tamadun dan perjuangan agama.

Anwar mengambil contoh pengorbanan Sayidatina Khadijah yang menjadi pendamping setia serta memberikan ketenangan, keyakinan dan sokongan padu kepada Rasulullah SAW ketika fasa awal penyebaran Islam yang penuh cabaran.

"Setiap episod penting dalam sejarah Islam tidak terpisah daripada peranan wanita dan oleh itu, kita mesti yakin bahawa tanpa sumbangan wanita, sukar untuk kita membina negara MADANI yang diimpikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan hawa agar terus tabah mendepani pelbagai ujian kehidupan dan menjadikan kesabaran sebagai teras dalam mendidik anak serta memperkukuh institusi masyarakat.

Perdana Menteri juga berkata meskipun setiap keluarga tidak terlepas daripada mendepani cabaran namun umat Islam perlu melihat setiap ujian itu dengan penuh kesabaran dan menjadikannya medan untuk memperkukuh iman serta semangat.

Beliau berkata pembinaan keluarga, masyarakat dan negara memerlukan kesabaran yang disertai kebijaksanaan serta keikhlasan.

"Sabar dalam menjaga anak, sabar dalam membina rumah tangga dan sabar dalam membentuk masyarakat yang baik.

“Bahkan, untuk membina negara juga memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement