Skip to main content

Dunia

PBB kecam tindakan AS label Palestine Action sebagai kumpulan pengganas

A couple embraces wrapped in Palestinian flag , as activists and pro-Palestinian supporters gather at city's touristic Monastiraki square, as part of nationwide "Day of Action for Palestine" calling the authorities for sanctions against Israel and the revocation of visa-free entry for Israelis, in Athens, Greece, August 9, 2026. REUTERS/Louisa Gouliamaki
Palestine Action sebelum ini turut diharamkan di UK sebagai organisasi pengganas, keputusan yang turut mendapat kritikan daripada pejabat hak asasi manusia PBB. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam keputusan Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan kumpulan aktivis pro-Palestin, Palestine Action, sebagai organisasi pengganas, dengan menyifatkannya sebagai sekatan yang tidak seimbang dan tidak perlu terhadap kebebasan bersuara.

Dalam kenyataan pada Khamis, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menyatakan langkah itu berpotensi menjejaskan hak kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan berpersatuan, selain menghalang penyertaan dalam urusan awam.

Menurutnya, penggunaan istilah "pengganas" secara meluas terhadap kumpulan masyarakat sivil boleh mewujudkan kesan menakutkan terhadap ruang demokratik dan kebebasan awam.

Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Rabu mengumumkan pengisytiharan Palestine Action sebagai organisasi pengganas, dengan alasan langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh tindakan antikeganasan terhadap kumpulan berhaluan kiri.

Kementerian Luar Israel menyambut baik keputusan berkenaan.

Palestine Action sebelum ini turut diharamkan di United Kingdom (UK) sebagai organisasi pengganas, keputusan yang turut mendapat kritikan daripada pejabat hak asasi manusia PBB.

Mahkamah Agung UK bagaimanapun bersetuju mendengar rayuan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah yang mengesahkan tindakan kerajaan Britain mengharamkan kumpulan itu.

Palestine Action terkenal dengan kempen yang menyasarkan syarikat pertahanan yang mempunyai kaitan dengan Israel di Britain, khususnya Elbit Systems, syarikat pertahanan terbesar Israel.

Aktivis kumpulan itu sering mengadakan tindakan protes termasuk menyekat pintu masuk premis dan menyembur cat merah sebagai simbol bantahan.

Kerajaan UK mengharamkan kumpulan itu tidak lama selepas insiden pencerobohan di pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Brize Norton pada Jun 2025, yang menyaksikan aktivis merosakkan dua pesawat tentera.

Larangan tersebut mencetuskan gelombang protes di seluruh UK yang membawa kepada kira-kira 3,000 tangkapan.

Palestine Action mempertahankan tindakannya dengan menyatakan aktiviti mereka bertujuan "menyelamatkan nyawa dengan mengganggu operasi mesin perang Israel" serta membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Kumpulan itu menegaskan mereka menggunakan taktik gangguan terhadap syarikat yang dianggap menyokong kompleks ketenteraan dan industri Israel.

Sementara itu, Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia dan antikeganasan, Ben Saul, serta pakar PBB bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, turut menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Washington.

Albanese berpendapat langkah sedemikian bertujuan membungkam pengkritik dasar Israel.

Beliau sendiri sebelum ini dikenakan sekatan oleh AS selepas menggesa tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa terlibat dalam jenayah perang di Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar kebebasan bersuara daripada Foundation for Individual Rights and Expression (FIRE), Sarah McLaughlin, berkata usaha menyekat pandangan berbeza perlu ditolak dan tidak wajar dijadikan amalan dalam masyarakat demokratik.

 

 

Must Watch Video

Advertisement