Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Ban Ki-moon menyuarakan kebimbangannya mengenai perkembangan keganasan di Thailand dan menggesa semua pihak berusaha mencari penyelesaian damai bagi menamatkan krisis politik berkenaan.

"Saya bimbang dengan keganasan yang meningkat di Bangkok sejak beberapa hari lalu dan kesal dengan korban nyawa dan kecederaan yang berlaku," kata Ban kepada pemberita semasa ditemui pada sidang Pertubuhan Pembangunan Industri PBB (UNIDO) di Lima.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan ke atas cubaan penunjuk perasaan "menduduki bangunan kerajaan dan media."

"Saya sekali lagi menyeru semua pihak supaya menahan diri dan menyelesaikan perbezaan politik dengan cara dialog dan aman," kata Ban.

"Semua pihak perlu menghormati sepenuhnya prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia termasuk kebebasan bersuara."

Sementara itu di WASHINGTON, Amerika Syarikat menyatakan kesal terhadap kematian beberapa orang dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa Thailand.

Ia turut menggesa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan kumpulan penentangnya untuk duduk di meja rundingan bagi menamatkan krisis politik itu.

"Kami bimbang dengan ketegangan politik yang berterusan di Thailand dan kami mengikuti perkembangan ini dengan dekat," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki.

"Tunjuk perasaan aman dan kebebasan bersuara adalah aspek penting demokrasi… Keganasan dan rampasan harta awam atau persendirian bagaimanapun tidak dapat diterima sebagai cara untuk menyelesaikan perbezaan politik."

Duta Besar Amerika ke Thailand, Kristie Kenney telah bercakap dengan Yingluck dan pemimpin pembangkang untuk membuka jalan kepada dialog ke arah penyelesaian krisis, kata Psaki.

"Kami sangat kesal dengan korban nyawa di Bangkok yang terjadi kerana keganasan politik. Kami mengutuk keganasan sebagai jalan untk mencapai cita-cita politik dan menyeru semua pihak bertenang dan menghormati kedaulatan undang-undang," tambahnya.

Thailand dibelenggu keganasan politik paling buruk di negara ini sejak 2010 dengan penentang kerajaan mendesak Yingluck letak jawatan.

Polis mengggunakan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling batu dalam usaha mempertahankan bangunan utama kerajaan daripada dirampas.

Keganasan pada hujung minggu lepas mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan lebih seratus lagi cedera.

Tunjuk perasaan ini bertujuan mahu menjatuhkan kerajaan dan menggantikannya dengan majlis rakyat dan merupakan rentetan krisis politik sejak abang Yingluck, Thaksin Shinawatra digulingkan oleh tentera pada 2006.

Yingluck pada Isnin menolak desakan penunjuk perasaan yang mahukan beliau berundur manakala polis mengeluarkan waran tangkap ke atas pemimpin protes. — Agensi