DUNIA
Pegangan Trump dan anak dalam firma kripto mencecah AS$5 bilion

Donald Trump Jr. dan Eric Trump bergambar di luar bangunan Nasdaq bagi meraikan penutupan tawaran ALT5 bernilai AS$1.5 bilion serta pelaksanaan Strategi Perbendaharaan $WLFI di Pasaran Nasdaq, New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini. - Gambar fail
WASHINGTON: Token kripto yang disokong keluarga Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mula diniagakan secara terbuka, sekali gus meletakkan nilai pegangan beliau dan anak-anaknya sekitar AS$5 bilion (RM21 bilion).
Trump menubuhkan firma kripto World Liberty Financial (WLFI) pada pertengahan kempen Pilihan Raya Presiden tahun lalu, langkah yang mencetuskan persoalan mengenai potensi konflik kepentingan memandangkan beliau berpeluang mengawal selia industri berkenaan.
Syarikat itu mengumpul dana melalui penjualan token digital WLFI kepada pelabur, yang pada peringkat awal dihalang daripada menjual semula pegangan mereka.
Bagaimanapun, pada Julai lalu, pelabur sebulat suara membenarkan pembeli awal - tidak termasuk keluarga Trump - menjual sehingga 20 peratus daripada pegangan masing-masing.Sehingga Selasa, WLFI diniagakan sekitar AS$0.22 di bursa utama seperti Binance dan Coinbase, selepas susut hampir 50 peratus sejak mula diniagakan Isnin.
Walaupun penurunan itu menunjukkan permintaan yang sederhana, harga token masih lebih tinggi berbanding harga belian awal, sekali gus memberi keuntungan kepada sebahagian pelabur.
Dalam pendedahan kewangan, Trump dilaporkan memiliki kira-kira 15.75 bilion token WLFI bernilai lebih AS$3.4 bilion, menjadikan aset kripto sebagai sumber kekayaan terbesar beliau.
Secara keseluruhan, keluarga Trump menguasai hampir suku daripada 100 bilion token WLFI yang dicipta tahun lalu, bersamaan nilai sekitar AS$5 bilion mengikut harga semasa.
Selain itu, Trump dan anak-anak turut menerima peratusan hasil daripada jualan token, dengan jumlah kutipan melebihi AS$500 juta setakat ini, menurut pengiraan Reuters.
Pendapatan tersebut melonjak bulan lalu selepas World Liberty Financial bekerjasama dengan sebuah lagi firma tersenarai awam yang mengumpul AS$750 juta untuk membeli WLFI – sekali gus meletakkan syarikat itu pada kedudukan luar biasa sebagai pembeli dan penjual token yang sama.
Namun, langkah Trump itu mengundang kritikan berterusan daripada Demokrat yang menyifatkan ia sebagai saluran untuk rasuah, konflik kepentingan dan salah guna kuasa.
Pentadbiran Trump menolak dakwaan tersebut.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt menegaskan, dasar pentadbiran kini mendorong inovasi dan membuka peluang ekonomi kepada rakyat Amerika.
“Cubaan berterusan media untuk mereka-reka konflik kepentingan adalah tidak bertanggungjawab dan hanya mengukuhkan rasa tidak percaya masyarakat terhadap laporan mereka.
"Presiden dan keluarganya tidak pernah, dan tidak akan sesekali, terbabit dalam konflik kepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah pentadbiran Biden, tawaran token seperti WLFI berdepan penelitian ketat kerana dianggap sama seperti penjualan saham yang tertakluk kepada peraturan sedia ada, termasuk isu ketelusan dan konflik kepentingan.
Sebaliknya, Trump ketika berkempen berjanji mahu menjadikan Amerika Syarikat sebagai “ibu kota kripto dunia” dengan pendekatan lebih longgar terhadap pengawalseliaan.
Malah, bulan lalu, Jabatan Kehakiman membubarkan pasukan khasnya yang memantau jenayah berkaitan kripto.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) yang baharu, Paul Atkins, turut menolak garis panduan era Biden dengan menyatakan kebanyakan aset kripto bukan sekuriti.
“Kita perlukan rangka kerja kawal selia yang membolehkan aset kripto berkembang dalam pasaran Amerika,” katanya dalam ucapan pada Julai lalu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami