LONDON: Orang ramai di seluruh United Kingdom (UK) mengahadapi gangguan perjalanan untuk hari ketiga susulan ribuan pekerja kereta api meneruskan mogok, pada Sabtu.

Tindakan itu bagi mendapatkan gaji yang lebih baik dan jaminan pekerjaan di tengah-tengah kenaikan harga makanan dan tenaga.

Pekerja kereta api membentuk barisan mogok di seluruh negara berhubung isu gaji, pemotongan pekerjaan dan syarat kontrak.

Hanya sekitar satu daripada lima kereta api UK dijangka beroperasi pada Sabtu, dengan beberapa kawasan tidak mempunyai perkhidmatan sepanjang hari.

Peminat bola sepak dan kriket yang menghadiri permainan sukan serta pelancong adalah antara yang terjejas.

Pada Jumaat, kebanyakan laluan kereta api bawah tanah London tidak beroperasi kerana mogok berasingan.

Setiausaha Agung Kesatuan Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT), Mick Lynch berkata, mogok itu akan diteruskan sehingga persetujuan daripada semua ahli mengenai pakej yang akan ditawarkan.

Pekerja kereta api memulakan beberapa siri mogok besar-besaran yang menyebabkan perjalanan kereta api negara itu terhenti pada bulan Jun.

Mereka menuntut gaji dan keadaan kerja yang lebih baik ketika pihak berkuasa cuba untuk memperbaharui sistem rel, yang telah kehilangan sebahagian besar pendapatannya akibat pandemik koronavirus dan mengubah corak perjalanan

Lebih banyak kesatuan sektor awam dan swasta merancang mogok ketika Britain menghadapi krisis kos sara hidup terburuk dalam beberapa dekad.

Pekerja pos, peguam, kakitangan British Telecom dan pemungut sampah semuanya telah mengumumkan akan adakan mogok hujung bulan ini.