ISTANBUL: Pelajar sekolah menengah dan universiti kembali mengadakan sekatan di seluruh Perancis pada Khamis bagi menuntut lebih banyak sumber untuk pendidikan, ketika Menteri Pendidikan Edouard Geffray menjemput wakil pelajar untuk mengadakan rundingan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Geffray menjemput tiga persatuan pelajar sekolah menengah iaitu Union Syndicale Lyceenne (USL), Renouveau Lyceen dan Lyceens! ke kementerian pada 3 petang waktu tempatan (1 petang GMT), dengan Menteri Pengajian Tinggi Philippe Baptiste turut dijadualkan hadir, lapor Le Parisien.
Mobilisasi pelajar itu diteruskan selepas Perdana Menteri Sebastien Lecornu berjanji pada petang Rabu untuk mengumumkan langkah awal menjelang akhir Oktober.
Beberapa sekolah di Paris disekat oleh pelajar manakala Universiti Pantheon-Assas membatalkan kelas sesi pagi susulan sekatan itu. Universiti Lumiere Lyon 2 pula menutup tiga kampusnya sepanjang hari kerana risiko gangguan yang tinggi.
Sekatan turut dilaporkan berlaku di sekolah menengah di Angers, apabila anggota bomba campur tangan untuk memadam tong sampah yang dibakar.
Unjuran Kementerian Pendidikan menunjukkan 224 institusi pendidikan akan ditutup sepenuhnya dan 151 lagi mengalami gangguan sebahagian pada Khamis, kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding jumlah institusi yang dijangka terjejas pada waktu sama pada Rabu.
Pertubuhan pelajar menyeru supaya perhimpunan diadakan di luar pejabat wilayah di kawasan Ile-de-France, sebelum diteruskan dengan himpunan di Place de la Bastille, Paris, pada 3 petang. Beberapa kesatuan pekerja sektor pendidikan, termasuk Snes-FSU, CGT, FO dan Sud, turut menyokong aksi mogok dan demonstrasi selama sehari.
Antara tuntutan pelajar ialah penyediaan 250,000 tempat tambahan di universiti serta penamatan sistem pemilihan melalui platform kemasukan Parcoursup.
Presiden USL Ryad Rani, meminta pertemuan dengan Lecornu pada minggu depan, sambil berkata wakil pelajar menyediakan cadangan yang disertakan pengiraan kos.
Sementara itu, Speaker Dewan Perhimpunan KebangsaanYael Braun-Pivet, menggesa penunjuk perasaan dan polis supaya kekal tenang serta menyeru agar kebimbangan pelajar diberi perhatian.
Jurucakap kerajaan Maud Bregeon mempertahankan rancangan pendidikan kerajaan dengan berkata sebanyak €64 bilion (kira-kira AS$72 bilion) diperuntukkan untuk pendidikan kebangsaan pada tahun depan.
-- BERNAMA-ANADOLU