Ringkasan AI
- Kajian di Australia mendapati suhu malam yang lebih panas dikaitkan dengan prestasi ingatan asosiatif yang lebih rendah dalam kalangan individu pertengahan usia dan warga emas.
- Daripada 12 ujian kognitif yang dijalankan, hanya ingatan asosiatif menunjukkan perkaitan signifikan dengan suhu malam yang tinggi.
- Penyelidik menegaskan perlunya kajian lanjut untuk menilai kesan jangka panjang suhu malam panas terhadap kesihatan otak dan risiko demensia.
SYDNEY: Suhu malam yang lebih panas dikaitkan dengan daya ingatan yang lebih lemah dalam kalangan individu pertengahan usia dan warga emas, menurut satu kajian di Australia, lapor Xinhua.
Kajian yang diterajui Universiti Newcastle dan Institut Penyelidikan Perubatan QIMR Berghofer di Australia itu menganalisis data daripada 1,873 rakyat Australia berusia antara 42 hingga 75 tahun.
Kajian itu mendapati suhu malam yang lebih panas secara konsisten dikaitkan dengan prestasi lebih rendah dalam ujian ingatan asosiatif, menurut kenyataan yang dikeluarkan universiti berkenaan pada Selasa.
Ingatan asosiatif melibatkan proses mempelajari, menyimpan dan mengingat kembali perkaitan antara perkara yang tidak berkaitan, seperti mengingati lokasi kunci atau mengaitkan wajah seseorang dengan namanya.
Menurut penyelidik, ingatan asosiatif merupakan antara fungsi kognitif yang boleh mengalami kemerosotan pada peringkat awal penyakit Alzheimer, walaupun kelemahan ingatan asosiatif juga merupakan sebahagian daripada proses penuaan normal.
Anna Behler dari Universiti Newcastle, penulis utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environment International, berkata kajian itu mengetengahkan perkaitan antara iklim, penuaan dan kesihatan otak, sekali gus menekankan keperluan untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai bagaimana peningkatan suhu boleh menjejaskan kesihatan otak seiring dengan peningkatan usia.
Peserta menjalani 12 ujian kognitif dalam talian bagi menilai daya ingatan, bahasa, perhatian, penaakulan dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Daripada 12 ujian itu, hanya ingatan asosiatif menunjukkan perkaitan signifikan dengan suhu pada waktu malam.
Penulis bersama kajian itu, Renate Thienel dari Universiti Newcastle, berkata gangguan tidur akibat haba mungkin menjadi antara penjelasan yang munasabah, memandangkan tidur memainkan peranan penting dalam pengukuhan ingatan.
Menurut penyelidik, kajian lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada kesan itu bersifat sementara atau pendedahan berulang kepada suhu malam yang lebih panas boleh membawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan otak dan berpotensi meningkatkan risiko demensia.
-- BERNAMA-XINHUA