ANKARA: Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin mengecam negara-negara yang menangguhkan pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

"Sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) membuat kesimpulan bahawa Israel secara munasabah melakukan genosid di Gaza, beberapa negara memutuskan untuk menangguhkan pembiayaan kepada UNRWA yang secara kolektif menghukum berjuta-juta rakyat Palestin pada waktu paling kritikal dan kemungkinan besar melanggar kewajipan mereka di bawah Konvensyen Genosid," tulis Francesca Albanese di X pada Sabtu.

Amerika Syarikat, Britain, Itali, Australia, Kanada, Finland dan Belanda memutuskan untuk menangguhkan pembiayaan kepada UNRWA berikutan dakwaan penglibatan beberapa pekerja UNRWA dalam konflik antara Hamas-Israel, lapor Agensi Anadolu.

Selepas dakwaan Israel, UNRWA pada Jumaat berkata agensi itu telah menamatkan kontrak dengan beberapa kakitangannya berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam konflik berkenaan.

Norway menyambut baik siasatan terhadap beberapa kakitangan agensi PBB tetapi berkata ia akan terus menyokong rakyat Palestin melalui UNRWA.Ireland sebelum ini juga mengumumkan bahawa ia tidak akan menangguhkan pembiayaan kepada agensi PBB itu.

-- BERNAMA