Skip to main content

Dunia

Peluang kecil elak perang tetap wajar diusahakan - Menteri Luar Iran

Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi looks on during a meeting with Director General of the International Atomic Energy Agency (IAEA) Rafael Grossi, and Egyptian Foreign Minister Badr Abdelatty, at Tahrir Palace in Cairo, on Sep 9, 2025. (File photo: AP/Khaled Elfiqi)
Araghchi berkata Iran berpandangan rundingan tetap wajar diteruskan walaupun kemungkinan untuk berjaya hanya 10 peratus. - Foto fail/AP
Advertisement

ISTANBUL: Iran memilih untuk meneruskan rundingan sebelum tercetusnya perang kerana biarpun hanya terdapat kemungkinan 10 peratus untuk mencapai penyelesaian selain konflik, peluang itu tetap wajar diusahakan, kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi, lapor Anadolu Ajansi.

“Rundingan itu mempunyai beberapa matlamat. Antaranya ialah kemungkinan kami dapat mencari jalan menerusi rundingan untuk mencapai tuntutan kami dan peluang itu tidak seharusnya dilepaskan,” kata Araghchi dalam temu bual yang diterbitkan pada Ahad.

Araghchi berkata Iran berpandangan rundingan tetap wajar diteruskan walaupun kemungkinan untuk berjaya hanya 10 peratus.

“Kami berkata, biarpun hanya terdapat kemungkinan 10 peratus untuk mencapai penyelesaian selain perang menerusi rundingan, kami perlu meneroka peluang itu.

“Kami mungkin tidak berjaya, tetapi sekurang-kurangnya kami telah mencuba semua pilihan dan menjelaskan pendirian kami kepada musuh, masyarakat antarabangsa serta rakyat sendiri bahawa kami telah berusaha melalui setiap saluran yang ada,” katanya.

Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada Februari.

Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara-negara Teluk yang menempatkan aset AS.

Washington dan Tehran pada bulan lepas mencapai memorandum persefahaman yang dimeterai dengan pengantaraan Pakistan bagi menamatkan konflik serta mencapai perjanjian damai berkekalan.

Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak minggu lepas berhubung Selat Hormuz apabila kedua-dua pihak saling melancarkan serangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement