INTERNATIONAL
Peluncur warga emas putus kaki diserang ikan yu berhampiran pantai Maui

Seorang lelaki berusia 61 tahun yang melakukan aktiviti meluncur di pulau Maui, Hawaii putus kedua-dua belah kakinya dalam serangan ikan yu. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 61 tahun yang melakukan aktiviti meluncur di pulau Maui, Hawaii putus kedua-dua belah kakinya dalam serangan ikan yu, kata polis tempatan, lapor United Press International.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 61 tahun di Maui, Hawaii, kehilangan kedua-dua kakinya dalam serangan ikan yu ketika meluncur.
- Mangsa, dikenali sebagai "Kenji," dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan kini stabil selepas pembedahan.
- Pantai Waiehu ditutup, dan rondaan dilakukan dengan bot dan dron untuk memantau aktiviti ikan yu.
Penolong Ketua Jabatan Bomba dan Keselamatan Awam Maui Jeff Giesea berkata mangsa dalam keadaan sedar semasa dirawat di pantai dan dibawa ke Pusat Perubatan Memorial Maui dalam keadaan kritikal.
Laman GoFundMe yang ditubuhkan oleh ahli keluarga untuk membantu menampung kos perubatan mengenal pasti mangsa sebagai "Kenji."
Seorang "rakan rapat" mangsa memberitahu KHON-TV bahawa Kenji kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pagi Jumaat, sambil menambah bahawa mangsa telah meluncur di kawasan pantai Waiehu yang sama selama 30 tahun.
Selepas kejadian itu, pintu masuk ke Waiehu Beach Park ditutup dan semua pengunjung pantai diberi amaran agar tidak memasuki air dari Paukukalo ke Waihe'e sehingga diberitahu kelak.
Pegawai Jabatan Bomba Maui membuat rondaan di tempat kejadian dengan bot penyelamat dan mengerahkan dron untuk memantau perairan luar pesisir bagi sebarang aktiviti ikan yu.
--BERNAMA-UPI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami