ISTANBUL: Pentagon memberitahu penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) bahawa ia mungkin mengambil masa sehingga enam bulan untuk membersihkan periuk api daripada Selat Hormuz, menandakan kemungkinan kemerosotan ekonomi yang berpanjangan daripada konflik AS-Iran, menurut laporan, lapor Anadolu Ajansi, memetik The Washington Post.
The Washington Post melaporkan pada Rabu penilaian itu disampaikan dalam taklimat sulit kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan pada Selasa.
Advertisement
Pegawai yang mengetahui perbincangan itu berkata garis masa menunjukkan kenaikan harga bahan api boleh berterusan "lama selepas sebarang perjanjian damai dicapai."
Penggubal undang-undang daripada kedua-dua parti dilaporkan menyatakan kekecewaan terhadap jangka masa yang diunjurkan.
Menurut pegawai yang dipetik dalam laporan itu, Iran mungkin telah memasang 20 atau lebih periuk api di dalam dan sekitar laluan air strategik itu, menggunakan kedua-dua peranti berdaya GPS dan bot kecil sekali gus menyukarkan pengesanan dan penyingkiran.
Selat Hormuz sebelum ini menampung kira-kira 20 peratus daripada penghantaran minyak global.
Penilaian itu berbeza dengan kenyataan Presiden AS Donald Trump, yang berkata di media sosial bahawa "Iran, dengan bantuan AS, telah mengeluarkan atau sedang mengalihkan, semua periuk api."
Pentagon enggan mengulas secara terbuka manakala Komando Pusat AS juga tidak memberikan sebarang penjelasan.
Iran menafikan pihaknya memasang periuk api, dengan Timbalan Menteri Luar Majid Takht-Ravanchi menolak dakwaan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU