Skip to main content

Dunia

Dua penyokong bertumbuk belakang wartawan ketika siaran langsung Piala Dunia

Sumber: Sinar Harian
Kamera secara tidak sengaja merakam dua lelaki yang bertumbuk di belakang wartawan berkenaan ketika beliau sedang berinteraksi dengan studio. - Foto/ Agensi

SATU siaran langsung liputan Piala Duia FIFA 2026 di Fox Sports Mexico terganggu seketika apabila dua penyokong dilihat bertumbuk di belakang seorang wartawan yang sedang membuat laporan secara langsung.

Insiden itu berlaku ketika siaran sedang berlangsung berhampiran kawasan stadium, selepas perlawanan pembukaan yang menyaksikan Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0 di Stadium Azteca pada Jumaat lalu.

Suasana di sekitar stadium pada awalnya dilaporkan meriah dengan ribuan penyokong membanjiri kawasan sejak beberapa jam sebelum sepak mula, berikutan sambutan Piala Dunia yang kembali diadakan di negara itu selepas 40 tahun.

Namun, kegembiraan tersebut dicemari beberapa insiden kecil ketegangan antara kumpulan penyokong dan pasukan keselamatan sebelum dan selepas perlawanan.

Ketika segmen siaran langsung berlangsung, kamera secara tidak sengaja merakam dua lelaki yang bertumbuk di belakang wartawan berkenaan ketika beliau sedang berinteraksi dengan studio.

Kejadian itu menyebabkan siaran terganggu seketika sebelum pihak penyiar beralih kepada paparan lain.

Salah seorang individu yang terlibat dalam insiden tersebut dilaporkan memakai jersi Mexico.

Rakaman kejadian itu kemudiannya tular selepas dikongsi oleh pengacara studio, Christian Tibu Elgeura di media sosial dengan kapsyen berseloroh: “Fox Sports Out Of Context.”

Insiden berkenaan menjadi antara detik tular awal kejohanan yang baru sahaja bermula. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement