MASSACHUSETTS : Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengakui, keputusannya untuk kembali bertanding pada pemilihan presiden 2024 kerana pesaingnya dari Republikan, Donald Trump, turut mencuba nasib bagi penggal kedua.

Menurut Biden, kalau bukan kerana Trump, beliau sendiri tidak pasti sama ada akan mempertahankan jawatannya pada penggal akan datang.

"Jika Trump tidak bertanding, tidak pasti sama ada saya akan bertanding. Tetapi kita tidak boleh biarkan beliau menang," katanya ketika berucap di majlis pengumpulan dana kempen pilihan raya 2024 di Weston, Massachusetts.

Biden dalam masa memuji kelantangan bekas ahli Parlimen Republikan, Liz Cheney, yang memberi amaran AS akan terjerumus sekali lagi ke dalam pemerintahan diktator jika Trump berjaya kembali berkuasa.

Tidak ketinggalan, tegas Biden, amaran serupa dikeluarkan salah satu daripada tiga media utama AS iaitu majalah Atlantik berhubung ancaman yang berisiko diterima akibat pentadbiran Trump.

Sebelum ini, ketika di Boston, Biden membidas tindakan Trump yang menggunakan bahasa melampau dalam kempen termasuk memanggil lawannya sebagai haiwan perosak.

Tegas Biden, perkataan yang lazimnya digunakan di Jerman pada 1930-an, iaitu ketika kuasa Nazi, Adolf Hitler semakin meningkat, kini lebih kerap bergema di dalam Dewan Perwakilan AS.

"Trump tidak lagi menyembunyikan sikapnya. Beliau memberitahu kami apa yang dilakukannya. Beliau tidak ambil pusing mengenainya," katanya.

Biden yang berusia 81 tahun dan mewakili Demokrat menewaskan Trump, 77, pada 2020.

Sehingga kini, Trump sukar menerima keputusan pilihan raya berkenaan.

Trump juga sering kali menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang cuba mempertahankan demokrasi AS dalam pilihan raya tahun depan.

Sehingga kini, Trump bagaimanapun, dilaporkan mendahului pesaingnya dalam tinjauan pendapat walaupun menghadapi beberapa perbicaraan jenayah termasuk kes sogokan pilihan raya.

Bagi sebilangan besar pengundi AS pula, usia Biden menjadi faktor yang membimbangkan, malah, terdapat gesaan daripada beberapa ahli Demokrat supaya beliau memberikan peluang kepada calon baharu.

"Joe Biden adalah diktator sebenar," balas Trump dalam satu hantaran di rangkaian Truth Social konservatifnya pada Selasa. - Agensi