Skip to main content

Malaysia

RM950.78 juta disalur kepada lebih 44,000 usahawan di Sabah setakat September - Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan serta meningkatkan pertumbuhan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). - Gambar fail/BERNAMA
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan serta meningkatkan pertumbuhan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • RM950.78 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah setakat September 2023 melalui KUSKOP dan agensinya.
  • Kerajaan negeri menekankan keperluan latihan, teknologi, peningkatan produktiviti dan akses pasaran bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan selaras aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia.
  • Pelbagai inisiatif seperti Program Bantuan SME-UP dan Karnival HPM dilaksanakan untuk membantu perusahaan tempatan menembusi pasaran baharu dan global.

KOTA KINABALU: Sebanyak RM950.78 juta pembiayaan disalurkan kepada 44,059 usahawan dan koperasi di Sabah setakat September tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensinya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata jumlah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pembiayaan serta meningkatkan pertumbuhan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata pembangunan usahawan perlu merangkumi latihan, penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti, kemudahan permohonan serta akses kepada pasaran lebih luas, selaras dengan aspirasi Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM).

“Usahawan bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga latihan, teknologi, peningkatan produktiviti, proses permohonan yang lebih mudah serta akses kepada pasaran yang lebih luas,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival HPM Peringkat Sabah 2026 di Lintasan Deasoka di sini hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick.

Hajiji berkata usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan itu selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing, produktiviti dan nilai tambah ekonomi negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Bantuan SME-UP serta membuka peluang kepada produk tempatan menembusi pasaran baharu dalam sektor makanan dan minuman, pertanian, pelancongan dan kraf tangan.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru usahawan Sabah memanfaatkan peluang menerusi Karnival HPM, termasuk khidmat konsultasi pembiayaan, latihan digital dan padanan perniagaan yang ditawarkan oleh agensi KUSKOP serta rakan strategik negeri.

Beliau yakin kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan, institusi kewangan serta sektor swasta dapat membantu lebih banyak perusahaan tempatan berkembang dan menembusi pasaran global.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement