GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap 496 kenderaan kerana beroperasi sebagai teksi haram iaitu tanpa permit dan E-Panggilan dari awal tahun hingga semalam.
Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya memeriksa sebanyak 1,056 kenderaan persendirian dan mengeluarkan 519 notis kerana pelbagai kesalahan berkaitan teksi haram.
“JPJ Pulau Pinang memandang serius kegiatan pengangkutan penumpang tanpa permit sah, kerana boleh menjejaskan keselamatan penumpang selain mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha pengangkutan yang beroperasi secara sah.
“Semua kes yang dikesan setakat ini melibatkan pemandu tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Kenderaan Persendirian Tanpa Permit dan E-Panggilan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Beliau memaklumkan dalam operasi penguatkuasaan bermula 8 pagi itu, sebanyak 12 kenderaan diperiksa dan enam notis dikeluarkan terhadap tiga kenderaan yang didapati membawa penumpang tanpa permit sah.
Zulkifly berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap tiga pemandu kereta itu dan mereka disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kerana membawa penumpang tanpa permit sah.
Beliau berkata oerasi itu, dijalankan berdasarkan risikan dan aduan orang awam mengenai kegiatan pengangkutan penumpang secara haram di lokasi tumpuan pelancong dan pintu masuk utama di Pulau Pinang.
-- BERNAMA