Skip to main content

Dunia

Pemilik ladang Muslim di Kanada bimbang keselamatan diri susulan kempen kebencian

Sumber: FB NCCM
Omar Khamissa berkata tiada rakyat Kanada sepatutnya perlu berdiri di hadapan media dan menjelaskan mengapa mereka berhak untuk selamat di rumah sendiri. - Foto NCCM
Advertisement

HAMILTON: Seorang pemilik ladang Muslim di Clarington, Ontario, pada Khamis menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan diri selepas keluarganya menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berikutan dakwaan palsu bahawa ladang mereka menjalankan rumah sembelihan haram, lapor Anadolu Ajansi memetik sebuah akhbar tempatan.

Mohsin Bhuiyan, bersama wakil Majlis Kebangsaan Muslim Kanada (NCCM) dan pemimpin masyarakat setempat, tampil bersuara mengenai apa yang disifatkan NCCM sebagai kempen ugutan, kebencian dan ancaman ekstremis yang semakin meningkat terhadap keluarganya.

Menurut NCCM, apa yang bermula sebagai teori konspirasi dalam talian berkembang menjadi “kempen gangguan terancang oleh kumpulan ketuanan kulit putih”, meskipun tiada bukti langsung menyokong dakwaan terhadap ladang berkenaan.

Pertubuhan itu berkata gangguan berkenaan termasuk dron diterbangkan di ruang udara kawasan kediaman keluarga itu dan sebuah sekolah Muslim berhampiran, penderaan berulang dalam talian, ancaman bunuh serta bantahan terancang di luar ladang itu.

 

 

NCCM berkata bahan yang disebarkan dalam talian menggunakan imej Perang Salib dengan seruan supaya “menghantar mereka pulang”, selain rujukan kepada rusuhan anti-pendatang di Belfast, dengan beberapa hantaran mencadangkan penduduk Clarington “mengambil contoh” daripada keganasan itu, yang menyaksikan perusuh menyerang pendatang dan membakar rumah.

Bercakap kepada CityNews, Bhuiyan menggambarkan mesej yang diterima keluarganya.

“Komen-komen itu, jika anda membacanya, anda pasti benar-benar bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarga anda. Ini kerana komen-komen itu berbahaya, sangat berbahaya,” katanya, sambil memberi contoh seperti “bakar rumah mereka, hantar mereka pulang, bunuh mereka, jejaki mereka.”

“Itulah komen-komen yang kami temui di media sosial,” katanya.

 

Ketua Pegawai Mobilisasi NCCM, Omar Khamissa pada sidang media itu berkata tiada rakyat Kanada sepatutnya perlu berdiri di hadapan media dan menjelaskan mengapa mereka berhak untuk selamat di rumah sendiri. 

"Tiada keluarga yang terpaksa berdepan ancaman bunuh, dron diterbangkan di ruang udara kediaman mereka dan kemungkinan demonstrasi ekstremis di luar kediaman, tempat anak-anak mereka tidur, hanya kerana dakwaan yang sama sekali palsu," kata beliau. 

Datuk Bandar Clarington Adrian Foster turut mengulas mengenai gangguan itu.

“Sebilangan kecil individu mencetuskan ketegangan; mereka membuli dan menakut-nakutkan penduduk Clarington. Tiada sesiapa patut berasa tidak selamat di Clarington. Tiada sesiapa patut berasa takut di Clarington,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement