SAN FRANCISCO: Beberapa komuniti di pesisir California berdepan banjir apabila fenomena air pasang besar atau "king tide" melanda kawasan pantai negeri itu pada Selasa.
Di Humboldt County, utara California, rakaman dron menunjukkan air banjir menenggelami jalan raya di sekitar kawasan perumahan dan kenderaan rekreasi (RV), sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk setempat.
Sementara itu, di Mill Valley yang terletak di seberang Teluk San Francisco, beberapa laluan utama turut dinaiki air, menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), amaran banjir pantai dikuatkuasakan di kawasan Teluk San Francisco sehingga lewat petang Khamis berikutan paras air pasang yang menghampiri rekod tertinggi.
Agensi itu memberi amaran bahawa paras banjir di kawasan rendah boleh mencecah sehingga 0.8 meter apabila air pasang besar menyebabkan paras air di sungai dan saluran air sekitar meningkat.
Fenomena air pasang besar berlaku beberapa kali setahun apabila kedudukan bulan dan matahari menghasilkan tarikan graviti yang lebih kuat terhadap lautan, mengakibatkan paras air laut meningkat melebihi kebiasaan.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya berwaspada dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu di lokasi yang terjejas.