Ringkasan AI
- Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua dan diabetes.
- Pemergian beliau dianggap satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air serta seluruh masyarakat yang menghargai sumbangan dan legasinya.
- Karya-karya agung seperti Salina, Langit Petang, Sungai Mengalir Lesu dan Lantai T Pinkie terus menjadi rujukan dan inspirasi generasi penulis negara.
MELAKA: Pemergian Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said atau lebih mesra disapa Pak Samad, merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata pemergian tokoh sastera berusia 91 tahun itu bukan sahaja dirasai penggiat seni dan sastera, malah seluruh masyarakat yang menghargai sumbangan serta legasi beliau dalam memperkaya khazanah kesusasteraan negara.
“Mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian beliau.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan tanah air,” katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini malam tadi.
Ab Rauf berkata A Samad Said yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, telah meninggalkan legasi besar menerusi karya-karya agung yang terus menjadi rujukan dan dikenang sepanjang zaman.
Antara karya terkenal Allahyarham termasuk novel Salina, Langit Petang, Sungai Mengalir Lesu dan Lantai T Pinkie yang memperlihatkan keupayaan beliau mengangkat realiti kehidupan masyarakat menerusi penulisan.
Beliau berkata sumbangan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan akan terus menjadi inspirasi kepada generasi penulis dan penggiat seni tanah air.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Pak Samad, mengampunkan segala dosanya serta menempatkan beliau dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
A Samad Said menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam, selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.
-- BERNAMA