Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei menggesa dunia Islam untuk mensenjatakan warga Palestin untuk membalas ‘pembunuhan beramai-ramai’ oleh rejim Israel di Gaza.

Dalam ucapan sempena Aidilfitri, Khamenei berkata Israel bertindak semacam ‘anjing dan serigala’ dan tindakan mereka mesti ditentang.

Serangan Israel ke atas Gaza yang bermula sejak tiga minggu lepas telah mengorbankan 1,100 warga Palestin dan 55 warga Israel.

“Masyarakat terkurung dalam satu kawasan kecil tanpa air dan elektrik dan kini berdepan dengan musuh bersenjata.”

“Serangan masih berterusan dan ia perlu menjadi satu pengajaran kepada semua orang,” kata Khamenei dalam ucapan yang disiarkan secara langsung dari Masjid Imam Khomeini di Tehran.

Khamenei turut menyangkal cadangan gencatan senjata yang dilihatnya sebagai satu muslihat oleh Amerika Syarikat dan negara Eropah untuk menyelamatkan ‘rejim Zionis’.

Hamas, dia berkata, juga perlu diberikan senjata untuk melindungi warga Palestin daripada ditindas.

“Presiden Amerika Syarikat mengeluarkan fatwa supaya perjuangan bersenjata diberhentikan agar kami tidak boleh respon terhadap jenayah yang dilakukan Israel,” Khamenei menambah, merujuk kepada saranan Barack Obama kepada kumpulan pengganas untuk melucutkan senjata.

Sebaliknya, dunia dan negara-negara Islam patut memberikan senjata kepada orang Palestin untuk melawan serangan Israel, tambahnya.

Pada ucapan yang sama, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata negara-negara Islam dilanda dua ‘tumor’ iaitu Israel dan Jihad Islam (IS), yang telah menawan sebahagian besar Syria dan Iraq.

Selepas ucapan tersebut, Khamenei dilaporkan melaungkan sokongan kepada Gaza sekali lagi dalam satu pertemuan dengan duta-duta negara Islam di Tehran, menurut laman web rasminya.

“Hari ini, warga Palestin perlukan satu keperluan hidup...iaitu senjata. Justeru, saya menyeru kerajaan-kerajaan Islam untuk bekerjasama membantu Gaza,” katanya.

Pada Isnin, Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif dilaporkan mengadakan perbincangan telefon dengan ketua Hamas Khaled Meshaal dan ketua Islamic Jihad Ramadan Abdullah

“Sebarang gencatan senjata perlu adanya satu persetujuan untuk mengakhiri kepungan ke atas Gaza, dengan jaminan bahawa serangan dari rejim Zionis tidak akan berulang,” kata Zarif.

Pada Khamis, Speaker parlimen Iran, Ali Larijani memberitahu televisyen kerajaan bahawa Tehran telah membekalkan Hamas teknologi yang digunakan untuk melancarkan roket dari Gaza ke Israel.

Ketika konflik Gaza pada November 2012, Larijani juga berkata Iran amat bangga untuk membekalkan sokongan wang dan militari kepada Hamas.

Dalam serangan tersebut, Israel mendakwa Iran membekalkan puak militan dengan misil Fajr-5 yang mempunyai sasaran sejauh 75 kilometer.