Skip to main content

Dunia

Pemimpin Australia tandatangani perjanjian perkukuh undang-undang senjata api

81745146989_senjataapipistol.jpg
Perjanjian yang dikemas kini itu melarang pembuatan senjata api menggunakan teknologi 3D serta pemilikan dan pengedaran bahan yang digunakan untuk menghasilkan senjata berkenaan. - Gambar hiasan
Advertisement

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan pemimpin negeri serta wilayah pada Rabu menandatangani perjanjian untuk memperkukuh undang-undang senjata api susulan serangan pengganas di Bondi Beach, lapor Xinhua.

Albanese dan lapan pemimpin negeri serta wilayah dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat pada Rabu memaklumkan, hanya warganegara Australia dibenarkan memiliki lesen senjata api di bawah Perjanjian Senjata Api Kebangsaan yang dikemas kini.

Selain itu, mereka memaklumkan, perjanjian yang dikemas kini itu melarang pembuatan senjata api menggunakan teknologi  cetakan tiga dimensi (3D) serta pemilikan dan pengedaran bahan yang digunakan untuk menghasilkan senjata berkenaan.

Para pemimpin itu memaklumkan, kemas kini berkenaan, yang pertama bagi perjanjian itu sejak 2017, akan mengurangkan risiko bahaya berkaitan senjata api susulan insiden tembakan yang meragut 15 nyawa pada satu acara masyarakat Yahudi di Bondi Beach, Sydney pada Disember.

Mengutamakan usaha melaksanakan Perjanjian Senjata Api Kebangsaan yang dikemas kini merupakan satu daripada 14 syor yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja mengenai anti-Semitisme dan Perpaduan Sosial dalam laporan interimnya yang diserahkan pada April.

Suruhanjaya itu turut mengesyorkan supaya semua negeri dan wilayah mengutamakan usaha melaksanakan skim pembelian balik senjata api.

Setakat ini, hanya Wilayah Ibu Negara Australia dan negeri New South Wales bersetuju melaksanakan skim pembelian balik berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement