DUNIA
Pemimpin negeri Jerman desak Berlin turunkan cukai tenaga untuk semua

Pemimpin negeri Jerman menyatakan bahawa rakyat dan perniagaan kecil mendapat manfaat melalui pengurangan yuran grid dan pemansuhan surcaj gas. - Gambar hiasan
BERLIN: Pemimpin negeri di Jerman pada Ahad mendesak Kerajaan Persekutuan agar menarik balik keputusan untuk menurunkan cukai tenaga hanya bagi industri, sebaliknya menggesa Berlin menurunkan cukai itu untuk semua pihak, termasuk isi rumah, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Alexander Schweitzer, pemimpin negeri Rhineland-Palatinate di barat Jerman, menyeru kerajaan gabungan pimpinan konservatif agar segera menurunkan cukai tenaga dan mempertimbang semula sama ada isi rumah persendirian turut sama menerima manfaat.
"Kita perlu fikir semula sama ada kita boleh memberikan kelegaan ini kepada rakyat," katanya kepada dpa di ibu negeri Mainz.
Schweitzer berkata kerajaan sepatutnya berpegang kepada perjanjian gabungannya, yang menjanjikan pemotongan cukai untuk semua, bergantung kepada keadaan bajet.Namun, beliau turut menyatakan bahawa rakyat dan perniagaan kecil mendapat manfaat melalui pengurangan yuran grid dan pemansuhan surcaj gas.
Pimpinan tertinggi dari parti konservatif Canselor Friedrich Merz serta rakan gabungan mereka, Parti Demokratik Sosial (SPD), memutuskan pada bulan lepas untuk mengekalkan cukai elektrik bagi kebanyakan perniagaan dan pengguna persendirian, satu keputusan yang dianggap ramai mengingkari janji kempen.
Schweitzer memberi amaran yang orang awam kini semakin tidak sabar terhadap perbezaan pendapat yang diumumkan secara terbuka tanpa hasil yang konkrit.
Mario Vogt, pemimpin negeri Thuringia, turut senada dengan Schweitzer, dengan berkata: "Saya menjangkakan pemotongan cukai elektrik akan dilaksanakan untuk semua tidak lama lagi."
Dalam kenyataan kepada portal berita T-Online, beliau berkata beliau berharap parlimen akan "menemui penyelesaian semasa perbahasan bajet selepas cuti musim panas."
"Pemotongan cukai elektrik mesti dikuatkuasakan untuk semua selewat-lewatnya menjelang bajet tahun 2027."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami