GENEVA: Lebih ramai individu terdedah kepada risiko maut akibat penularan penyakit berbanding serangan pengeboman di Semenanjung Gaza jika sistem kesihatan wilayah itu tidak dibaik pulih.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi kebimbangan mengenai peningkatan penyakit berjangkit terutamanya kepada golongan wanita dan kanak-kanak.

Bercakap pada taklimat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, wujud keberangkalian peningkatan wabak penyakit berjangkit, terutamanya penyakit cirit-birit.

“Akhirnya kita akan melihat lebih ramai individu mati akibat penyakit daripada yang kita lihat daripada pengeboman jika kita tidak dapat mengembalikan (bersama) sistem kesihatan ini dan menyediakan keperluan asas seperti makanan, air, ubat-ubatan dan sudah tentu bahan api untuk mengendalikan hospital,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan keruntuhan Hospital Al-Shifa di utara Gaza sebagai "tragedi" dan menyuarakan kebimbangan mengenai penahanan beberapa kakitangan perubatannya oleh tentera Israel semasa konvoi pemindahan WHO.

Pada masa sama, jurucakap Agensi Kanak-Kanak PBB di Gaza, James Elder memberitahu, hospital di Gaza penuh dengan kanak-kanak yang mengalami luka perang dan gastroenteritis yang disebabkan oleh pengambilan air kotor.

Memasuki hari ke-53 konflik dengan lanjutan gencatan senjata, angka korban di Gaza telah melebihi 15,000 orang dan 40 peratus daripadanya kanak-kanak.