DUNIA
Pengarah hospital Gaza Hussam Abu Safiya dibiar sakit, kebuluran dalam penjara Israel

Abu Safiya ditahan pada 27 Dis 2024 apabila tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan dalam operasi mengusir rakyat Palestin dari utara Gaza. - Foto X/@HussamAbuSafiya
ISTANBUL: Seorang peguam Palestin pada Khamis mendakwa Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, Dr Hussam Abu Safiya, sedang "dibiarkan sakit dan kebuluran" dalam penjara Israel, sambil memberi amaran bahawa keadaannya semakin merosot akibat apa yang disifatkan sebagai pengabaian disengajakan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ghaid Qasem, peguam Abu Safiya, memberitahu portal Palestin Aljarmaq bahawa anak guamnya mengalami sakit dada yang teruk, degupan jantung tidak teratur dan tekanan darah tinggi, namun tidak pernah diperiksa pakar kardiologi sejak penahanannya pada Disember lalu.
Beliau turut menderita patah tulang rusuk dan jangkitan kulit serius termasuk kudis buta, tanpa sebarang rawatan atau ubat.
"Banduan dipisahkan daripada cahaya matahari, dinafikan makanan mencukupi, dan hidup dalam pengasingan total," katanya. "Malah saya sendiri dihukum hanya kerana melawatnya tiga minggu lalu -pertemuan yang hanya berlangsung 20 minit dan dipenuhi gangguan sebelum, semasa dan selepas lawatan."Qasem berkata beliau memperoleh fail perubatan setebal 33 muka surat mengenai Abu Safiya, namun tiada laporan pakar dimasukkan meskipun keadaan kesihatannya semakin teruk.
Menurutnya, doktor itu dijangka dibawa ke mahkamah dalam beberapa minggu akan datang, tetapi perbicaraan itu disifatkan sekadar "sandiwara", apabila pengawal hanya memaklumkan penahanannya dilanjutkan "sehingga tamat perang" tanpa kehadiran peguam.
Dalam kenyataan terdahulu, Qasem mendedahkan berat badan Abu Safiya merosot daripada 100 kilogram ketika ditahan kepada hanya 60 kilogram, menggambarkan corak "pengabaian disengajakan" terhadap tahanan Palestin.
Abu Safiya ditahan pada 27 Dis 2024 apabila tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan dalam operasi mengusir rakyat Palestin dari utara Gaza. Tentera menahan 240 kakitangan dan pesakit, menanggalkan pakaian mereka serta menyebabkan hospital tidak lagi berfungsi.
Beliau ditahan di bawah "Undang-Undang Pejuang Haram" Israel, yang membolehkan penahanan tanpa had tanpa pertuduhan, boleh diperbaharui setiap enam bulan berdasarkan fail risikan rahsia.
Pengamal hak asasi menegaskan undang-undang yang digubal pada 2002 itu digunakan secara meluas untuk memenjarakan penduduk Gaza tanpa perbicaraan.
Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza, mengorbankan lebih 65,100 penduduk Palestin sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan dan menjerumuskan penduduk ke ambang kebuluran.
Pada Selasa, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki mengesahkan bahawa Israel telah melakukan genosid di Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami