KUALA LUMPUR: Kehadiran dalam talian semata-mata tidak lagi mencukupi untuk memastikan pertumbuhan sesebuah perniagaan apabila persaingan semakin sengit dan tingkah laku pengguna kini banyak dipengaruhi platform digital.
Pengurus Besar Penyelesaian Ketersambungan Perniagaan Unifi Business, Nazlina Othman berkata ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia sudah mula menggunakan platform digital, namun masih belum memanfaatkan teknologi itu secara strategik untuk meningkatkan keterlihatan, menarik pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan.
Menurut beliau, dapatan Impak Biz yang melibatkan hampir 4,000 PMKS mendapati 83 peratus perniagaan masih berada pada tahap asas hingga berkembang dari segi kematangan digital.
"Ramai perniagaan sudah berada dalam talian, tetapi belum menggunakan alat digital secara strategik untuk memacu pertumbuhan
“Sebab itu pemasaran digital bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keupayaan penting untuk pertumbuhan perniagaan," katanya dalam program Niaga AWANI.

Beliau berkata landskap PMKS negara kini semakin kompetitif dengan lebih 55,000 pendaftaran perniagaan baharu direkodkan baru-baru ini, tertinggi dalam tempoh lapan tahun, sekali gus menjadikan usaha menonjolkan perniagaan kepada pelanggan lebih mencabar.
Nazlina turut menjelaskan bahawa hampir 98 peratus PMKS yang dinilai menerusi Impak Biz didapati mempunyai kelemahan dalam aspek analitik digital.
Katanya, ramai usahawan aktif di media sosial atau platform digital, namun gagal memanfaatkan data, sasaran pelanggan dan proses pengoptimuman yang boleh membantu menukar aktiviti digital kepada hasil perniagaan yang lebih kukuh.
"Kehadiran dalam talian sahaja tidak semestinya menghasilkan pertumbuhan. Perniagaan memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh termasuk aspek keterlihatan, penglibatan pelanggan, ketangkasan operasi dan keselamatan siber," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Penyelesaian Generasi Baharu Unifi Business, Kelvin Shaman Manoharan berkata pertumbuhan perniagaan hari ini banyak bergantung kepada kemampuan sesebuah syarikat untuk mendorong pelanggan menemui mereka pada masa yang tepat.
Beliau berkata perubahan tingkah laku pengguna yang kini mencari, membandingkan dan membuat keputusan pembelian secara dalam talian telah menjadikan pemasaran digital sebagai pemacu pertumbuhan yang semakin penting.

"Produk dan perkhidmatan mungkin berkualiti, tetapi jika pelanggan tidak dapat menemuinya secara berkesan dalam talian, peluang perniagaan akan terlepas begitu sahaja," katanya.
Menurut Kelvin, ramai PMKS memahami kepentingan pendigitalan, namun kekangan bajet, kepakaran dan masa sering menjadi halangan untuk melaksanakan kempen pemasaran digital yang berkesan.
Jelas beliau, cabaran itu mendorong Unifi Business memperkenalkan pelbagai penyelesaian pemasaran digital yang lebih mudah diakses menerusi pakej fleksibel, sokongan pakar serta nilai pengiklanan yang disepadukan bagi membantu PMKS memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan.
Sementara itu, Perancang Kewangan Prudential & PRUBSN Takaful, Diana Hanishha Jefri berkata penggunaan teknologi digital telah mengubah cara beliau mengurus pelanggan, termasuk urusan janji temu, susulan pelanggan dan komunikasi harian.
"Go Bookit” daripada Unifi Business membantu saya mengurus pelanggan dengan lebih sistematik, menjimatkan masa dan meningkatkan tahap responsif. Ia membolehkan saya memberi lebih tumpuan kepada hubungan dengan pelanggan dan pengalaman yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata pemasaran digital turut membantu memperluaskan capaian pelanggan melepasi kaedah rujukan tradisional dan rangkaian fizikal, selain meningkatkan kredibiliti serta kepercayaan pelanggan.
Mengulas mengenai PMKS yang masih ragu-ragu untuk memulakan proses pendigitalan, Diana menyarankan usahawan supaya bermula dengan langkah kecil tetapi tidak menangguhkan usaha tersebut.
"Pendigitalan tidak semestinya rumit. Alat asas untuk pengurusan pelanggan, janji temu atau pemasaran digital juga mampu memberi impak yang besar dalam jangka panjang," katanya.
Nazlina menegaskan, sasaran negara untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 memerlukan lebih banyak perniagaan beralih daripada sekadar menggunakan teknologi kepada memanfaatkannya sebagai pemacu daya saing.
"Persoalan yang perlu ditanya hari ini bukan lagi berapa kos pemasaran digital, tetapi apakah peluang pertumbuhan yang terlepas jika kita tidak melabur dalamnya," katanya.