TANAH MERAH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di Sungai Padang Kijang dekat Kampung Alor Pasir, di sini susulan ratusan ikan ditemukan mati di sungai berkenaan pada Isnin.
Timbalan Pengarah JAS negeri Mohamad Zamzani Ibrahim berkata pegawai Bahagian Operasi 2, Unit Aduan telah mengambil sampel air sungai untuk tujuan analisis.
“Pemeriksaan awal dijalankan menggunakan peralatan YSI ProDSS bagi mendapatkan bacaan parameter kualiti air secara in situ sebagai penilaian awal terhadap keadaan sungai.
“Pasukan JAS turut menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut menggunakan dron bagi mengenal pasti sebarang aktiviti atau punca yang mungkin menyebabkan perubahan keadaan air sungai tersebut,” katanya kepada Bernama semalam.
Mohamad Zamzani berkata analisis kimia ke atas sampel air sungai melibatkan beberapa parameter penting termasuk keperluan oksigen biokimia, keperluan oksigen kimia, jumlah pepejal terampai, minyak dan gris.
Katanya, sampel berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi menentukan kandungan serta tahap kualiti air sungai dengan lebih terperinci.
“Buat masa ini tempoh keputusan analisis (diperoleh) belum dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada proses analisis yang dijalankan oleh Jabatan Kimia,” katanya.
Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan sungai berkenaan.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi masih terdapat sisa ikan mati di tebing sungai, manakala beberapa penduduk mengambil kesempatan menjala ikan.
-- BERNAMA