Skip to main content

Bisnes

Perang AS-Iran dijangka heret ekonomi global ke paras terendah pasca COVID-19 - Bank Dunia

"Out of order" signs cover fuel pumps at a petrol station in Sydney, Australia
Penutupan Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas dunia, oleh Iran telah menjejaskan rantaian bekalan global dan meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga. - Gambar hiasan/REUTERS

WASHINGTON: Konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi global ke tahap paling perlahan sejak pandemik COVID-19, menurut laporan terkini Bank Dunia.

Dalam laporan 'Global Economic Prospects' yang diterbitkan pada Khamis, institusi kewangan antarabangsa itu menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2026 kepada 2.5 peratus, berbanding 2.9 peratus yang dianggarkan sebelum ini.

Menurut Bank Dunia, penurunan itu didorong oleh kenaikan mendadak harga tenaga, inflasi yang semakin meningkat serta kos pinjaman yang lebih tinggi susulan ketegangan di Asia Barat.

Laporan itu menekankan bahawa konflik di Asia Barat memberi kos ekonomi yang signifikan, khususnya ketika gencatan senjata rapuh antara AS dan Iran terus diuji.

Penutupan Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas dunia, oleh Iran telah menjejaskan rantaian bekalan global dan meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga.

Bank Dunia menganggarkan harga minyak mentah Brent akan mencapai purata AS$94 setong tahun ini, iaitu kira-kira 36 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Kenaikan harga tenaga turut disertai lonjakan harga baja, yang dijangka memberi kesan rantaian kepada harga makanan global.

Secara keseluruhan, inflasi global diunjurkan meningkat kepada 4 peratus pada 2026, berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Namun, Bank Dunia memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya gangguan bekalan tenaga berlarutan.

Dalam senario terburuk, pertumbuhan global boleh merosot serendah 1.3 peratus, manakala inflasi meningkat kepada sekitar 4.4 peratus.

Negara membangun dijangka menerima kesan paling besar daripada krisis ini, dengan pertumbuhan ekonomi kumpulan tersebut diunjurkan jatuh ke tahap terendah sejak pandemik.

Bank Dunia turut memaklumkan bahawa unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara di dunia telah diturunkan sejak awal tahun ini.

Selain itu, jurang pendapatan antara negara membangun dan negara maju kekal melebar, dengan banyak negara gagal mencapai kemajuan ketara dalam tempoh sedekad lalu.

Presiden Kumpulan Bank Dunia, Ajay Banga, berkata dunia sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi yang kompleks.

“Negara membangun telah menghadapi pelbagai cabaran sepanjang dekad lalu. Keutamaan kini adalah melindungi rakyat serta mengekalkan kestabilan, tanpa mengorbankan pertumbuhan dan peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya.

Sebagai respons, Bank Dunia memaklumkan pihaknya menyediakan sehingga AS$60 bilion untuk membantu negara membangun yang terkesan, dengan kemungkinan jumlah itu ditingkatkan kepada AS$100 bilion sekiranya krisis berlarutan.

Walaupun pertumbuhan global dijangka pulih sedikit kepada sekitar 2.8 peratus pada 2027, Bank Dunia menegaskan ia masih lebih rendah berbanding purata dekad lalu.

Penganalisis memberi amaran bahawa ketidaktentuan geopolitik, pergolakan pasaran tenaga dan tekanan inflasi berterusan boleh terus membebankan ekonomi global dalam tempoh terdekat.

Situasi ini sekali lagi menonjolkan betapa konflik geopolitik mampu memberi kesan jauh melangkaui sempadan serantau, dengan implikasi besar terhadap pertumbuhan, harga komoditi dan kesejahteraan ekonomi global.
 

 

Must Watch Video

Advertisement