"Susulan pengumuman saya baru-baru ini dan ketika saya menghampiri usia 88 tahun, saya memutuskan untuk berundur serta-merta daripada jawatan Pengerusi dan sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah," kata Schwab dalam satu kenyataan.
Lembaga itu sebulat suara melantik Naib Pengerusi Peter Brabeck-Letmathe sebagai pengerusi sementara. Sebuah jawatankuasa pemilihan turut ditubuhkan bagi mencari calon pengerusi baharu.
"Lembaga merakamkan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang Pengerusi dan Pengasas Forum Ekonomi Dunia yang telah bersara, Klaus Schwab.
"Beliau mewujudkan platform global terkemuka untuk dialog dan kemajuan, dan Lembaga menyatakan setinggi-tinggi terima kasih atas kepimpinan tanpa jemu beliau selama 55 tahun menerajui Forum ini," menurut kenyataan itu.
"Ketika dunia sedang mengalami perubahan pesat, keperluan kepada dialog inklusif bagi mendepani kerumitan dan membentuk masa depan tidak pernah sepenting ini. Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia menegaskan kepentingan untuk terus berpegang teguh kepada misi dan nilai sebagai pemudah cara kemajuan.
"Berlandaskan peranan dipercayai yang telah dibina, Forum akan terus menghimpunkan pemimpin dari semua sektor dan rantau untuk bertukar pandangan dan menggalakkan kerjasama," menurut kenyataan itu lagi.
Pada Mei 2024, Schwab mengumumkan penarikan diri daripada peranan eksekutifnya.
Schwab menubuhkan Forum Ekonomi Dunia pada 1971 dan sejak itu, forum ini mengadakan mesyuarat tahunan di Davos, Switzerland serta di beberapa lokasi lain.
Peter Brabeck-Letmathe, pemimpin sementara organisasi bukan kerajaan itu, ialah tokoh korporat dari Austria.
Di Nestle, beliau kini menyandang jawatan Pengerusi Emeritus, selepas memegang jawatan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dari 1997 hingga 2008.
Brabeck-Letmathe juga pernah menerajui Formula One Group sebagai pengerusi, yang menganjurkan perlumbaan Formula Satu, selain karier panjang beliau di Nestle.
-- BERNAMA
