SINGAPURA: Pengembara yang memasuki Singapura menerusi pusat pemeriksaan darat dari Malaysia tidak perlu menunjukkan salinan fizikal sijil vaksinasi COVID-19, menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Selasa.

Portal berita Channel NewsAsia yang memetik agensi itu melaporkan, pengembara hanya perlu menyerahkan Kad Ketibaan (SG Arrival Card) dan rekod vaksinasi mereka akan disahkan melalui sistem Kementerian Kesihatan Singapura.

ICA berkata, pihaknya mengeluarkan penjelasan itu berikutan mesej WhatsApp yang tersebar mengenai pengalaman pengembara melalui salah satu daripada pusat pemeriksaan laluan darat.

Mesej itu mendakwa, pengembara yang memasuki Singapura perlu menunjukkan salinan fizikal rekod vaksinasi, memo pemulihan COVID-19 atau salinan rekod digital SG Arrival Card.

Tambahnya, sijil vaksinasi fizikal diperlukan kerana sistem ICA dan Kementerian Kesihatan tidak terhubung dan pengembara tidak boleh menganggap bahawa ICA mempunyai akses kepada rekod vaksinasi.

Mesej itu turut mendakwa, rekod digital SG Arrival Card diperlukan kerana sistem ICA tidak dapat mengesan penyerahan yang dilakukan pengembara.

Pada Selasa, ICA menegaskan, warga Singapura yang kembali ke republik itu, pemastautin tetap dan pemegang pas jangka panjang yang divaksinasi di Singapura tidak perlu menunjukkan salinan fizikal sijil vaksinasi.

Sementara itu, pemastautin dan pelawat asing yang divaksinasi di luar Singapura dan berjaya memuat naik sijil vaksinasi digital semasa menghantar SG Arrival Card, juga tidak diperlukan membawa salinan fizikal sijil vaksinasi untuk ditunjuk kepada pegawai ICA.

Di bawah rangka kerja pengembara yang sudah divaksin, mereka yang telah pulih dari COVID-19 tidak perlu menunjukkan memo pemulihan apabila memasuki Singapura melalui jalan darat.