Skip to main content

Hiburan

Teater Dalang: Menghidupkan warisan wayang kulit di pentas moden

TB_Teater Dalang_AWANI.jpg
Karya dan arahan Senjakala ini dipilih sebagai wakil rasmi negeri Johor ke Festival Teater Zon Selatan 2026 yang akan berlangsung di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka pada 21 Jun 2026.

JOHOR BAHRU: Kisah perjuangan antara warisan dan realiti kehidupan moden bakal 'dihidupkan' di atas pentas, dari perspektif dan peranan seorang dalang. Hadirnya bukan sekadar sebagai penggerak cerita, malah penjaga nilai, tradisi dan jiwa masyarakat. 

Dalam persoalan tentang siapakah sebenarnya yang mengawal cerita, kita perlu bersedia untuk berdepan dengan konflik yang memuncak, pertikaian tentang identiti dan pengertian pengorbanan sebelum merungkai sebuah kebenaran.

Begitulah yang bakal menemui penonton, daripada Persatuan Gerak Teater Tari Johor Bahru (GETARJB). Dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), teater Dalang, sebuah naskhah kontemporari berteraskan seni wayang kulit bakal naik panggung pada 9 dan 10 Jun 2026, jam 8.30 malam di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor.

Karya dan arahan Senjakala ini dipilih sebagai wakil rasmi negeri Johor ke Festival Teater Zon Selatan 2026 yang akan berlangsung di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka pada 21 Jun 2026.

Teater Dalang mengangkat konflik keluarga Ki Bayu, seorang tok dalang yang berjuang mempertahankan seni warisan keluarganya ketika berdepan cabaran zaman moden. Anaknya, Amir, enggan meneruskan legasi tersebut demi masa depan yang lebih terjamin. Kemelut bertambah apabila Tuan Musa muncul menuntut tanah pusaka, membongkar rahsia lama yang menggugat keharmonian keluarga dan kampung.

Pementasan ini menggabungkan lakonan, muzik tradisional, visual kontemporari dan elemen budaya Melayu-Jawa. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi seruan untuk generasi muda menghargai seni tradisi yang semakin terpinggir.
 

Image
INSERT_Teater Dalang_AWANI.jpg


“Teater Dalang bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu usaha menghidupkan kembali warisan yang semakin dilupakan. Melalui kisah ini, kami ingin mengajak masyarakat menghargai seni tradisional dan memahami bahawa setiap warisan hanya akan terus hidup apabila ada generasi yang sanggup mempertahankannya," ujar Senjakala, selaku penulis skrip dan pengarah.

Barisan pelakon terdiri daripada Ryntanpanama sebagai Ki Bay;, Azrul Syafiq sebagai Amir; Lynn Rahman sebagai Ibu Kesuma; Kim Rezza, Cinta Afifah dan Aqil Packer sebagai Tuan Musa.

Objektif utama pementasan adalah untuk memartabatkan seni wayang kulit, menarik minat generasi muda, serta memperkasakan aktiviti seni dan budaya di Johor sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Tiket berharga RM30 boleh didapati melalui talian hotline 017-207 3436 (Cikgu Ayie). Harga Early Bird RM25 ditawarkan sehingga 30 Mei 2026.


MAKLUMAT PEMENTASAN JOHOR  
Tarikh: 9 & 10 Jun 2026  
Masa: 8.30 malam  
Tempat: Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru  

MAKLUMAT PEMENTASAN MELAKA  
Tarikh: 21 Jun 2026  
Masa: 8.30 malam  
Tempat: Panggung Seri

Must Watch Video

Advertisement