IPOH: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin, 49, menemukan beberapa barangan di lokasi berbeza sepanjang pencarian dijalankan, namun kesemuanya disahkan bukan milik mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penemuan dalam operasi sejak Khamis itu melibatkan kawasan sungai, lereng bukit serta laluan yang dilalui pasukan penyelamat.
“Hasil pemeriksaan telah dipastikan semua barangan tersebut bukan milik orang hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, setakat ini operasi pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu.
Bagaimanapun katanya, seramai lima anggota terdiri daripada Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) masih berada di sektor pencarian bagi meneruskan usaha mencari mangsa.
Tambahnya, dalam masa sama, kumpulan komuniti Orang Asli yang turut membantu pencarian sejak 3 Jun lalu masih berada di sektor operasi, namun belum menemui sebarang petunjuk berkaitan mangsa.
“Lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama dua MGP yang terlibat dalam operasi di sektor pencarian sejak Khamis telah keluar dari lokasi dengan selamat pada jam 11.30 pagi hari ini,” katanya.
Sabarodzi berkata, dalam operasi yang diteruskan dalam skala kecil ini, pihaknya telah menerima banyak permohonan daripada sukarelawan yang ingin menyertai SAR.
Bagaimanapun jelasnya, hanya permohonan yang memenuhi syarat ditetapkan dibenarkan menyertai operasi selepas melalui proses tapisan dan penyelarasan bersama Jabatan Perhutanan.
“Terdapat permohonan yang ditolak disebabkan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tempoh masa yang tidak sesuai, selain kekurangan dari segi peralatan dan kelengkapan.
“Ada juga kumpulan yang dibenarkan menyertai operasi setelah memenuhi semua kriteria ditetapkan,” katanya.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei. - Sinar Harian