LONDON: Pelakon veteran British, Anthony Head, yang terkenal menerusi siri televisyen Buffy the Vampire Slayer dan Ted Lasso, disahkan meninggal dunia pada usia 72 tahun.
Kematian aktor itu diumumkan oleh dua anak perempuannya, Emily dan Daisy Head, menerusi kenyataan kepada media.
Menurut kenyataan tersebut, Head menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jangkitan paru-paru (pneumonia) dalam keadaan tenang dan dikelilingi ahli keluarga terdekat.
“Dengan hati yang berat, kami mengumumkan pemergian bapa kami yang tersayang, Anthony Head.
"Sebagai anak yang menyaksikan sendiri impak kerjayanya kepada begitu ramai orang merupakan satu penghormatan dan keistimewaan kepada kami,” menurut kenyataan itu.
Dilahirkan di London pada 20 Februari 1954, Head mula meraih populariti di peringkat antarabangsa pada akhir 1990-an menerusi watak Rupert Giles, seorang pustakawan dan mentor dalam siri Buffy the Vampire Slayer (1997–2003).
Bagi generasi baharu, beliau dikenali menerusi watak antagonis Rupert Mannion dalam siri komedi sukan Ted Lasso.
Sepanjang hampir lima dekad dalam industri seni, mendiang turut muncul dalam pelbagai produksi lain termasuk memegang watak Raja Uther Pendragon dalam siri Merlin, selain penampilan dalam Doctor Who, Little Britain dan filem The Iron Lady.
Penghormatan turut dizahirkan rakan-rakan artis dan peminat di media sosial, termasuk pelakon Buffy the Vampire Slayer, Sarah Michelle Gellar, serta pelakon Ted Lasso, Brett Goldstein, yang menyifatkan mendiang sebagai insan berbakat dan berperibadi mulia.
Pemergian Head hadir kira-kira enam bulan selepas kematian pasangan hidupnya, Sarah Fisher, seorang aktivis kebajikan haiwan, pada Disember tahun lalu.