WASHINGTON: Kumpulan penggodam terkenal, ShinyHunters, mendakwa berjaya menceroboh sistem Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan memperoleh data melibatkan sejumlah besar kakitangan semasa, bekas kakitangan serta pemohon kerja agensi itu.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman web gelap (dark web), kumpulan berkenaan mendakwa tindakan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap pendedahan FBI mengenai kaedah operasi mereka pada Mei lalu.
ShinyHunters turut mendakwa memiliki data yang didakwa merangkumi nama ejen FBI, alamat kediaman, nombor keselamatan sosial, maklumat tugasan serta butiran ahli keluarga dalam sesetengah kes.
Sebagai bukti, kumpulan itu memuat naik tangkap layar yang didakwa menunjukkan gangguan pada laman pengambilan pekerja FBI serta sampel data yang dikatakan dicuri.
Reuters melaporkan sebahagian maklumat dalam sampel itu menunjukkan padanan dengan rekod sedia ada, termasuk dalam kes yang melibatkan Pengarah FBI, Kash Patel.
Bagaimanapun, agensi berita itu tidak dapat mengesahkan sama ada data berkenaan benar-benar dicuri daripada sistem dalaman FBI.
Setakat ini, FBI belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut.
Bekas pegawai FBI yang kini berkhidmat dalam syarikat keselamatan siber Halcyon, Cynthia Kaiser, berkata kebocoran maklumat seperti itu boleh membahayakan pegawai penguat kuasa kerana data berkenaan berpotensi digunakan untuk ugutan dan gangguan.
ShinyHunters sebelum ini dikaitkan dengan beberapa insiden pencerobohan berprofil tinggi, termasuk melibatkan syarikat permainan video Rockstar Games dan platform pendidikan Canvas.
Awal bulan ini, syarikat kecerdasan buatan Anthropic turut mendakwa berjaya mengesan percubaan pihak yang mempunyai kaitan dengan kumpulan penggodam berkenaan menggunakan peralatannya.