Washington menegaskan penggunaan senjata kimia terhadap penduduk awam di Syria didalangi Presiden Bashar Al-Assad.

Kenyataan berkenaan sekaligus mempertikaikan siasatan pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Siasatan dirintis misi pasukan khas PBB ke Syria menunjukkan pemberontak menggunakan gas sarin.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahad lalu. Bagaimanapun jurucakap White House menegaskan Washington percaya sebaliknya.

Jurucakap White House, Jay Carney berkata, “Fakta yang kami selalu tegaskan, kami amat skeptikal dengan pandangan yang menyatakan pembangkang memiliki atau menggunakan senjata kimia. Bukti kami menunjukkan penggunaan senjata kimia didalangi rejim al-assad. Itulah pendirian muktamad."

Beliau mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa Amerika Syarikat mempunyai bukti kukuh senjata kimia digunakan di Syria.

Pendirian sama ditegaskan jurucakap jabatan negara Amerika Syarikat, Patrick Ventrall.

Jurucakap Timbalan Jabatan Negeri, Patrick Ventrell berkata, "Penggunaan senjata kimia di syria didalangi rejim al-assad. Kami percaya senjata berkenaan dalam keadaan selamat, tetapi kami juga sedar rejim al-assad menunjukkan keinginan untuk menggunakannya terhadap penduduk awam.

"Kami berpendirian untuk melihat dakwaan berkenaan disiasat secara menyeluruh dan segera. Kami meminta kerajaan syria agar bekerjasama dan membenarkan penyiasat pbb menyiasat di semua kawasan."

Pada Isnin, setiausaha negara Amerika Syarikat, John Kerry ke Moscow bagi membincangkan perkembangan konflik Syria dengan presiden Vladimir Putin.