Pengundian awal yang dijadualkan Ahad bagi pilihan raya umum Thailand mungkin akan menghadapi tentangan daripada pihak yang mahukan ia ditunda, terutamanya di bahagian selatan.

Pengerusi Pesuruhanjaya Pilihanraya Pattani, Nipon Narapitakkul berkata beliau bimbang akan kemungkinan besar pengundian awal Ahad tidak boleh dijalankan.

Kedua-dua pusat pengundian di Pattani masih ditutup dengan pintu masuk kedua-duanya terdapat notis daripada penunjuk perasaan antikerajaan melarang mana-mana pegawai membuka kunci dan jika dibuka juga, pihak tersebut akan bertindak ganas.

Di Wilayah Pattani, terdapat dua pusat pengundian awal, iaitu di Dewan Pentadbiran Wilayah Pattani dan Sekolah Decha Pattanayanukul Pattani.

Lebih 30,000 pengundi telah mendaftar untuk mengundi pada Ahad di Pattani dan kira-kira 90 peratus terdiri daripada anggota tentera dari luar Pattani tetapi bertugas di sana.

Beliau berkata walaupun pihak Suruhanjaya Pilihanraya di Pattani telah bersedia mengadakan pengundian Ahad, kedua-dua tempat pilihan raya itu tidak boleh diguna untuk mengundi berikutan tentangan kumpulan yang dikenali sebagai "Reform Before Election" yang mahukan reformasi sebelum pilihan raya.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihanraya Thailand di Bangkok sudah menghantar surat memberi peringatan bahawa sekiranya ada pihak yang menghalang Ahad, maka pengundian akan dibatalkan bagi mengelak perbalahan.

Walaupun Mahkamah Perlembagaan Jumaat memutuskan bahawa pilihan raya pada 2 Feb ini boleh ditunda dan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Thailand Supachai Somcharoen secara bersama menetapkan tarikh baharu, tetapi nasib pengundian awal Ahad tidak disebut.

Sementara itu, Suthep Thaugsuban Ketua People's Democratic Reform Committee, iaitu kumpulan utama yang mahukan pilihan raya ditunda dan mendesak Yingluck meletak jawatan, berkata kumpulan itu tidak akan mengganggu pengundian awal Ahad.

Walaupun begitu, penyokong mereka akan berada di pusat-pusat pengundian untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang pilihan raya berkenaan.

Setiausaha Agung Perdana Menteri, Suranand Vejjajiva berkata perkembangan mengundi Ahad akan diteruskan mengikut jadual kerana tarikh pilihan raya pada 2 Feb telah ditetapkan.