IPOH: Tindakan disiplin dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) akan dikenakan terhadap kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang membuang puntung rokok dari kenderaan majlis itu seperti yang tular di media sosial.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata tiada pihak yang terkecuali daripada tindakan undang-undang atas kesalahan membuang sampah merata-rata di tempat awam.
Advertisement
“Bukan sahaja Perintah Khidmat Masyarakat akan dikenakan terhadap (pelaku), tindakan disiplin wajib juga diambil kerana sebagai kakitangan PBT (pihak berkuasa tempatan) beliau wajib menjadi contoh dan teladan yang baik.
“Sudah banyak kali saya terangkan, tidak kira kamu siapa, ada Tan Sri ke, Datuk Seri ke, pekerja atau kakitangan siapa sahaja kerana undang-undang adalah sama dan adil kepada semua,” katanya.
Nga berkata demikian selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 160 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Cina Negeri Perak di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak Woo Kah Leong.
Semalam, media melaporkan MBSA dalam kenyataan memaklumkan telah merujuk kes individu berkenaan kepada Bahagian Integriti MBSA mengikut Kaedah-Kaedah Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (Kelakuan & Tatatertib) 2023.
Tular di media sosial video seorang individu dilihat membuang puntung rokok dari sebuah kereta yang tertera logo dan perkataan MBSA ketika kenderaan itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Video itu mencetuskan polemik apabila banyak yang mempertikaikan sama ada agensi berkenaan boleh dikenakan tindakan saman sama seperti orang awam yang melakukan kesalahan serupa.
Dalam pada itu, Nga berkata setakat ini sebanyak 3,000 individu telah dikenakan tindakan PKM kerana kesalahan membuang sampah merata-rata.
-- BERNAMA