Skip to main content

Malaysia

Wanita warga Myanmar maut ditikam, polis tahan bekas suami mangsa

PDRM
Seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai akibat ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian di sebuah kondominium di Setapak, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai akibat ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian di sebuah kondominium di Setapak, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai insiden itu pada 2.20 petang.

Advertisement

Susulan itu, polis menahan suspek yang juga warga Myanmar pada hari sama dan merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pagi tadi mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.

Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari hingga 30 April ini untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau Pegawai Penyiasat ASP Baldev Singh 012-480 6062 atau hadir ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video